Pemikiran di dalam karya sastera bermaksud subjek yang dibawakan oleh pengarang. Ini bermula daripada idea dan pengalaman dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti untuk dijelmakan menjadi persoalan dan tema karya, kemudian dikembangkan untuk menyampaikan mesej dan tujuan yang membentuk pemikiran dan idealisme pengarang. Hal ini boleh dilihat melalui karya agung Sulalatus Salatin.
Sulalatus Salatin bermula dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah keruntuhannya di tangan Portugis. Walau bagaimanapun, Sulalatus Salatin tetap menjadi rujukan zaman-berzaman untuk mengkaji tamadun Melayu, terutamanya pembukaan negeri, aktiviti-aktiviti raja dan undang-undang negeri, asal-usul raja, asal-usul nama tempat, dan adat-istiadat.
Kita akan menemui gambaran kehidupan dan budaya kerajaan Melaka atau budaya feudal melalui Sulalatus Salatin yang isinya membincangkan mengenai jurai keturunan raja, pembesar, dan hulu balangnya, di samping turut membincangkan mengenai keagungan dan kebesaran sesebuah pemerintahan. Walaupun unsur sejarah dalam Sulalatus Salatin sudah bercampur dengan unsur mitos dan lagenda, namun unsur sejarahnya lebih kuat.
Kesultan Melayu Melaka merupakan titik tolak permulaan suatu tradisi yang menjadi dasar budaya Melayu melalui kisah-kisah istana Melaka yang dianggap sebagai teras kebudayaan Melayu. Mohd Taib Osman dalam Seri Lanang Jaya Rohani. Abd. Rahman Napiah, Mohd. Rashid Md. Idris, dan Naffi Mat(2013) menggambarkan kebudayaan Melayu sebagai suatu kebudayaan yang dibentuk daripada pelbagai peradaban yang mencerminkan liku-liku sejarah yang dilalui.
Mohd Taib Osman menjelaskan lagi bahawa Sulalatus Salatin dapat merangkaikan kebudayaan Melayu yang mempunyai ciri-ciri peradaban Hindu dengan pertumbuhan kebudayaan yang berteraskan agama Islam.Walau bagaimanapun, unsur agama Hindu tidaklah diterima dalam kebudayaan Melayu sebulat-bulatnya, sebaliknya perlu melihat garis panduan daripada agama Islam terlebih dahulu sama ada dibolehkan atau tidak.
Selain itu, kebudayaan Melayu yang menunjukkan persambungan tradisi juga telah melalui proses dinamis seperti terkubur bersama-sama zamannya, ada ciri baharu yang mendapat tempat, dan diberi pewarnaan tempatan supaya bersesuaian dengan tradisi masyarakat tempatan. Terdapat banyak kajian dijalankan berdasarkan karya Sulalatus Salatin, dan rata-rata pengkaji sudah pasti akan menemui pengaruh unsur kebudayaan India terselit di dalamnya.
Penulis-penulis Barat seperti Winstedt dan Wilkinson mengecam Sulalatus Salatin dan menganggapnya sebagai sebuah buku mitos dan roman yang banyak mengandungi cerita-cerita dongeng dan dewa-dewa menyebabkan unsur sejarahnya juga tidak dapat dipercayai. Berbeza pula dengan pandangan Hoesein Djajadiningrat, Branders Rasser, dan Pigeaud yang masih menganggap Sulalatus Salatin sebagai buku sejarah, namun bersifat dongeng kerana tiada pentarikhan.
Rujukan.
Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah, Hj. Mohd. Rashid Md. Idris, dan Hj. Naffi Mat, (2013). Penghayatan karya agung Melayu. Tanjong Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan