- Pemerian
Penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea yang bertujuan untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar. Contohnya;
Tuan Furquhar sudah lama bersahabat dengan Tengku Long, putera Sultan Mahmud. Semasa dia di Melaka, khabar yang kudengar mengatakan Tengku Long sudah mengambil wang daripada Kolonel Farquhar.
(Hikayat Abdullah; 154)
Kawasan itu semak belaka. Hanya di padang itulah tiada berhutan besar, tetapi dipenuhi pokok-pokok ambung-ambung malapari, bulangan, dan tulang-tulang kayu. Di seberang sungai kelihatan pokok-pokok bakau, api-api, buta-buta, jeruju, dan tulang-tulangnya sahaja. Ada sebuah bukit yang tinggi di hujung tanjung Kuala Singapura.
(Hikayat Abdullah, 16)
- Penceritaan
Satu bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada dalam penulisan, mahupun lisan yang turut menghubungkan beberapa peristiwa yang berkaitan dalam satu plot yang logik. Contohnya;
Tuan Raffles datang ke Melaka. Setelah berbincang dan bersetuju, dimintanya Kolonel Farquhar belayar ke Singapura untuk melaksanakan kerja tersebut. Ketika itu, Tuan Raffles telah diarahkan pergi ke Aceh oleh Tuan Jenderal untuk mendamaikan pertelingkahan di antara Aceh Pidir dengan Teluk Semawi yang hendak berperang.
(Hikayat Abdullah; 155)
Maka pada ketika Minangkabau mengamuk itu baginda lagi di tikar sembahyangnya, baharu lepas sembahyang subuh tengah membaca wirid. Maka panglima Minangkabau itu pun naiklah, pada sangka juak-juak baginda itu panglima sengaja hendak mengadap baginda, maka tiadalah dihiraukannya. Maka seketika lagi ia pun naik lalu diparangnya hulu baginda. Maka baginda pun terkejut lalu disambar baginda pedang panglima itu, maka dapatlah pada tangan baginda.
(Tuhfat al-Nafis; 68)
- Penerangan
Penerangan secara terperinci mengenai sesuatu perkara daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain untuk memberi penjelasan tentang sesuatu dengan lebih tersusun.
Maka kulihat sifat orangnya pendek dan mukanya bundar dan rambutnya putih dan tubuhnya sederhana. Contohnya;
(Hikayat Abdullah; 79)
Maka Raja Muda pun membunuh isterinya lalulah ia keluar mengamuk pula, kerana fikirannya daripada isterinya diambil Minangkabau diperbuatnya gundik, terlebih baik biar hilang sekali. Kemudian Raja Muda pun mengamuklah menyerbukan dirinya kepada pihak sebelah Raja Kechik itu. Lalu berkejar-kejaranlah hambat-berhambat hingga sampai ke Kayu Ana nama tempat itu. Maka Raja Muda pun mangkatlah di situ, sebab sabur menyabur orang beramuk itu.
(Tuhfat al-Nafis; 57)
- Pendedahan
Pendedahan mengenai sesuatu perkara atau maklumat dengan lebih jelas dan terperinci. Retorik pendedahan ini merupakan salah satu usaha untuk memindahkan maklumat daripada seseorang kepada khalayak dengan lebih berkesan. Contohnya;
Mana-mana yang berkenan diambilnya dan mana-mana yang tiada diberikannya kepada segala juak-juaknya. Maka cabullah negeri Melayu itu dengan hal yang demikian itu. Maka menyuruhlah Sultan Mahmud itu akan seorang hambanya menikam Raja Zainal itu digemarkan oleh orang-orang negeri itu mengatakan Raja Zainal mati ditikam oleh pencuri konon adanya.
(Tuhfat al-Nafis; 7)
Akan tetapi, semenjak aku telah mendapat pelajaran dan akal sedikit demi sedikit serta membaca kitab-kitab, tambahan pula telah bercampur-campur dengan orang berakal, orang putih, maka bahawasanya kuketahuilah sekalian itu bohong, lagipun penipu besar, adanya.
(Hikayat Abdullah; 114)
- Penghujahan
Turut dikenali sebagai retorik pemujukan rasional atau intelek yang sering digunakan dalam perbahasan, perdebatan, pembicaraan, forum, dan penulisan yang bersifat akademik dengan menggunakan bukti dan alasan yang kukuh bagi meyakinkan khalayak. Contohnya;
Maka lalu dikeluarinya oleh orang Siak (itu), serta orang Siantan, mana-mana (yang) sebelah dia. Maka lalulah (beramuk-amukan mula-mulanya), berbedil-bedilan dengan meriam (dan) lela. Kemudian berapat (bercencangkan kelewang dan pedang dan) bertikamkan (lembing, tombak. Kemudian berapat bertikamkan) keris (pendek, ada yang bertikam bercengkeng penggang sama seorang). Maka sangat ramainya (perang itu), kerana sama(sama) tiada Melayu undur (anak-anak Melayu dengan anak Siak)”,
(Tuhfat al-Nafis; 279)
- Pemujukan
Retorik yang menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain supaya mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Contohnya;
Maka berkatalah Pangeran Dipati itu kepada Gusti Jameril, “Adapun cucuku ini aku hendak(ambil) buat menantu. Cucuku pilihlah anakku yang dua orang itu mana-mana suka cucuku.” Maka jawab Gusti Jameril, “adapun (yang) seperti kehendak nenda belumlah patik boleh menentukan bermohonlah patik mengadap paduka anak anda Pangeran Emas Seri Nagara dahulu.
(Tuhfat al-Nafis; 232)
Syahadan setelah Tun Dalam, iaitu Raja Kecik mendengar titah duli baginda itu, maka ia terdiam sejurus. Kemudian baharu ia berdatang sembah seraya berkata, “yang patik ini mana-mana sahaja titah perintah. Tiada patik berniat salah kepada duli tuanku, akan tetapi bilakan Raja Muda percayakan patik, melainkan patik pohonkan Raja Haji bersama-sama”. Lalu baginda memanggil Raja Haji.
(Tuhfat al-Nafis; 137)
Rujukan
Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah, dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, (20130. Karya agung Melayu BSS3022. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah, dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, (20130. Karya agung Melayu BSS3022. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan