Hikayat Hang Tuah telah dianggap sebagai sebuah teks yang mencapai taraf kanon Melayu. Tambahan pula, Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik yang sangat tersohor dan menceritakan mengenai satu-satunya wira Melayu yang tiada tolok bandingnya, iaitu Hang Tuah. Hikayat ini juga menggambarkan Hang Tuah dan empat orang perwira lagi seperti Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu, dan Hang Kasturi yang berjaya mengalahkan musuh dari dalam mahupun luar negara.
Selain itu, Hikayat Hang Tuah juga menceritakan pertikaman antara Tuan dengan Jebat, dua orang sahabat sangat akrab yang berbeza pendapat dalam mentafsirkan erti taat setia kepada raja dan konsep penderhakaan yang akhirnya membawa kepada pertumpahan darah. Sifat kepahlawanannya terletak pada kejayaannya mengungkapkan pelbagai persoalan, nilai-nilai, dan budaya orang Melayu pada abad ke-15, di samping memperlihatkan gambaran kepahlawanan Hang Tuah itu sendiri.
Hikayat ini juga menggambarkan konsep kesetiaan kepada raja seperti yang dipegang oleh watak Hang Tuah, manakala konsep penderhakaan pula dapat dilihat melalui watak Jebat. Hikayat ini banyak menyentuh kegagahan Hang Tuah, berbanding Hang Jebat. Siti Hawa Salleh dalam Seri Lanang Jaya Rohani et. al(2013) menjelaskan inti cerita Hikayat Hang Tuah melalui ayat pertama dalam naskhah tertua, iaitu dalam Cod. Or 1762 yang tersimpan di Perpustakaan Universiti Leiden, iaitu: Inilah Hikayat Hang Tuah yang amat setiawan pada tuannya dan terlalu sangat berbuat kebaktian kepada tuannya.
Sementara itu, Za'ba berpendapat bahawa Hikayat Hang Tuah merupakan lambang kesatriaan dan kepahlawanan bangsa Melayu, dan Hang Tuah salah satu contoh yang tinggi dan mulia bagi mengabdikan diri kepada sultan dan negara. Mana Sikana dalam Seri Lanang Jaya Rohani et. al(2013) menyatakan pendapat Za'ba itu dengan sendirinya menjelaskan bahawa terdapat dua perkara pokok dalam hikayat Hang Tuah, iaitu ketaatan kepada raja dan kecintaannya kepada negara, yakni Melaka.
Rujukan.
Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd Rahman Napiah, Hj. Mohd. Rashid Md. Idris, dan Hj. Naffi Mat, (2013). Penghayatan karya agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan