Hassan Ahmad dalam Mohd. Rashid Md. Idris et. al(2014) menyatakan bahawa tamadun dalam sesebuah bangsa hanya dapat dikesan dan dihayati melalui karya-karya terdahulu yang dikarang oleh bijak pandai seperti karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah, dan ilmuan bangsa tersebut dan dianggap sebagai karya agung. Oleh itu, karya agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan ialah nilai seni, budaya, ilmu pemikiran, teknik kepengarangan yang luar biasa serta bahasa yang tinggi lagi indah. Kesemua ini terhasil dalam kesepaduan bentuk, bahasa, dan gaya penceritaan yang luar biasa.
Tegas Hassan Ahmad lagi, karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan, dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa sepenjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan, dan kemanusiaan juga hadir dalam karya-karya seperti itu. Oleh itu, takrif asas ini telah menjadi asas menghuraikan konsep dan ciri-ciri Karya Agung Melayu atau Dunia Melayu. Karya agung ini menjadi pembentuk dan cerminan budaya sesebuah tamadun bangsa yang melahirkan karya tersebut.
Mohd. Rashid Md. Idris et. al(2014) turut menyatakan bahawa sesebuah karya kesusasteraan akan diangkat sebagai karya agung berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya tersebut. Namun begitu, tiada ukuran yang sejagat berkaitan ciri-ciri ini kerana setiap karya sastera lahir daripada tradisi, budaya, dan tamadun yang berbeza-beza. Penelitian ciri-ciri karya agung Melayu dilakukan berdasarkan aspek-aspek berikut:
- Pemikiran dalam karya agung
- Estetika dan kepengarangan dalam karya agung
- Nilai budaya dan pandangan hidup dalam karya agung Melayu
- Nilai ilmu dalam karya agung Melayu
- Pemikiran
Dalam Hikayat Hang Tuah(HHT), kita banyak disogokkan dengan kehebatan Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu, bukan sahaja meneroka dunianya, bahkan turut meneroka dunia luar seperti Rom, India, China, Arab dan termasuk juga alam ghaib. Isinya padat dengan pelbagai episod, peristiwa, kejadian, kehebatan paras rupa, persengketaan, kekejaman, hasad dengki, dan banyak lagi.
Kedatangan Islam serta sedikit unsur mitos dan agama Hindu mempunyai pemikiran yang tersendiri untuk menggambarkan kehebatan individu. Bagi menunjukkan keabsahan asal-usul raja-raja Melayu, pengarang menyatakan bahawa raja Melayu "diturunkan oleh Allah Taala dari keinderaan (HHT:8). Behitu juga dalam Sulalatus Salatin, yang menyatakan bahawa raja Melayu dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain; raja hebat daripada bangsa Yunani yang dikatakan beriman dengan agama Nabi Ibrahim.
"...disuruhkan oleh Raja Iskandar Raja Kida Hindi itu membawa iman" , maka Raja Kida Hindi pun "..membawa imanlah jadi Islam dalam adama Nabi Allah Ibrahim".
(Sulalatus Salatin: 4)
Keperkasaan dan keagungan kerajaan Melayu-Islam dilukis secara cukup hebat oleh bijak pandai sastera hikayat Melayu melalui keperkasaan dan kebijaksanaan hulubalang yang setia, iaitu Laksama Hang Tuah yang begitu gagah mengalahkan pahlawan Majapahit dan seluruh raja dan negeri Nusantara menjadi takluk atau tunduk kepada raja Melaka. Namun begitu, terdapat juga unsur-unsur mitos yang seakan-akan tidak masuk akal . Misalnya, kekuasaan raja secara melampau-lampau dan kezaliman raja menunjukkan betapa ketidakadilannya raja-raja pada zaman dahulu sehingga wujudnya pepatah 'adat Melayu tidak menderhaka'.
- Estetika dan Seni Kepengarangan
Keagungan karya-karya Melayu terpancar melalui kebijaksanaan pengarangnya menyampaikan cerita. Pada asanya, pengarang karya tradisional yang kebanyakannya tidak diketahui namanya merupakan pewaris cerita. Oleh itu, istilah atau ungkapan seperti alkisah maka tersebutlah menggambarkan karya tradisional ini adalah milik bersama anggota masyarakat.
Teknik warisan bercerita merupakan ciri yang menonjol dalam karya Melayu tradisional. Pengarang memanfaatkan pelbagai kaedah seperti unsur humor, romantis, realisme, idealisme, kias ibarat, teknik orang ketiga, dan teknik didaktik bagi mempelbagaikan tenik bercerita.
Tambahan Mohd. Rahid Md. Idris et. al(2014) lagi, pengguna seni bahasa dalam karya agung menampakkan unsur kreativiti dan keindahan. Sulaman gurindam, pantun, seloka, syair, peribahasa dan sebagainya dapat menyampaikan maksud dengan lebih berkesan.
- Nilai budaya dan Pandangan Hidup
Penggunaan puisi dan peribahasa dalam karya Melayu menunjukkan bahawa pengarang sangat peka dengan keindahan alam. Selain itu, karya agung Melayu turut menggambarkan peribadi masyarakat Melayu sebagai masyarakat yang kuat berpegang pada adat dan mengamalkan cara hidup hormat menghormati, dan bersopan-santun.
Misalnya Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah memberi banyak gambaran mengenai adat raja dan kerajaan seperti adat meminang, adat mengirim surat, adat menjamu hidangan diraja, adat berpakaian orang besar, adat menyembah raja, dan sebagainya. Oleh itu, masyarakat kini sama ada berbangsa Melayu sendiri atau masyarakat asing dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai adat-istiadat dan juga budaya masyarakat terdahulu melalui pembacaan karya-karya agung yang ada ini.
- Nilai ilmu
Ilmu berasaskan pengalaman dan pemerhatian sangat dipentingkan daripada ilmu yang bersifat abstrak. Nilai dapat digambarkan melalui istilah 'pandai', misalnya pandai besi, pandai keris, dan pandai emas. Selain itu, ilmu firasat, ilmu mistik, dan ilmu bahasa juga ada diketengahkan dalam karya agung Melayu. Contohnya Hang Tuah mempunyai pengetahuan dalam ilmu firasat, ilmu mistik, bahkan dapat menguasai 12 jenis bahasa asing. Manakala tokoh-tokoh ulung seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin ar-Raniri terkenal dengan penulisan ilmu agama.
Rujukan.
Hj. Mohd. Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah, dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, (2013). Karya agung Melayu: BSS3022. Tangjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan