Estetika dan kepengarangan merupakan dua aspek yang penting dalam mempengaruhi kedudukan sesebuah teks dan seseorang sasterawan. Menurut Mohd. Rashid Md. Idris et. al(2013), estetik berhubung rapat dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera. Manakala kepengarangan pula merujuk kepada keterampilan, kecerdikan, dan kearifan seseorang pengarang dalam berkarya. Lazimnya, kepangarangan dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seseorang pengarang.
Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada perkara-perkara yang bernilai dan bermanfaat, serta penikmatan yang mempersonakan sehingga terpahat di dalam pemikiran. Oleh itu, pendekatan estetik ini digunakan untuk menilai teks sastera dengan merujuk keindahan dan kekuatan teks tersebut. Cara pengarang mencerna, mengadun, dan mengolah karyanya juga akan menyerlahkan lagi keindahan teks tersebut.
Setiap komposisi karya memiliki keindahan tersendiri dan khalayak pula akan membina sikap estetiknya untuk menerima teks-teks tersebut. Keindahan yang lebih agung lagi apabila teks tersebut dapat membawa pembaca untuk mencapai kebaikan dan mengagungkan Allah Azza Wajalla. Pengalaman keindahan dapat dirasai apabila kita berasa terkesan dengan penyampaian teks tersebut sama ada menarik, mengagumkan, menyedihkan, atau memeranjatkan. Sesebuah karya yang baik dinilai dari aspek keelokan ciptaanya, tinggi seninya, dan halus adunannya.
Kepengarangan pula dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang. Prinsip keperibadian ini merupakan klimaks dalam perjuangan pengarang kerana pengarang perlu berusaha membina teks yang unggul di samping mencipta sifat keperibadian masing-masing. Pengalaman yang diperoleh melalui ingatan, kenangan, kutipan, pengaruh, pembacaan, pemerhatian, dan kajian sangat penting dalam mempelbagaikan daya kreativiti pengarang. Pengumpulan bahan dalam aspek kehadiran juga penting dalam proses pembinaan teks yang unggul sebagaimana yang ditegaskan oleh Mana Sikana melalui Teori Teksdealismenya.
Rujukan
Hj. Mohd. Rashid Hj. Md. Idris, Abd. Rahman Napiah, dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, (2013). Karya agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan