HANG TUAH
Sinopsis:
Hang Tuah dan empat orang sahabatnya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu, dan Hang Lekir menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Semasa menuntut ilmu, Hang Tuah jatuh cinta akan Melor, anak orang asli yang tinggal di Gunung Ledang dan menjadi pembantu Adiputra. Apabila tamat menuntut ilmu, mereka berlima pula semula ke kota Melaka.
Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk. Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan dan keperwiraan mereka, lalu menjemput mereka ke rumahnya. Apabila sultan mendapat tahu berita tersebut, baginda berkenan menjadikan mereka sebagai hulubalang istana. Hang Tuah dilantik sebagai Laksamana dan bertugas mengawal Sultan ke mana sahaja Sultan pergi. Semasa rombongan Sultan Melaka ke Majapahit, Hang Tuah berpeluang menunjukkan kehebatannya menentang pahlawan Majapahit. Oleh sebab ketangkasannya itu, Hang Tuah dianugerahkan keris Taming Sari.
Sekembali ke Melaka, Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah, namun telah ditawan oleh Tun Ali. Atas hasutan Patih Karma Vijaya untuk dijadikan gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat berjumpa dengan Melor. Tanpa pengetahuan Hang Tuah, Sultan Melaka juga menyaksikan pertemuan antara Hang Tuah dan Melor lalu menjatuhkan hukuman ke atas Hang Tuah.
Hang Jebat dilantik oleh Sultan sebagai pengganti Hang Tuah, namun Hang Jebat yang kesal dengan hukuman Sultan terhadap Hang Tuah telah mengamuk dan menghuru-harakan Melaka. Walau bagaimanapun filem Hang Tuah ini sangat berbeza jalan ceritanya dengan Hikayat Hang Tuah. Namun begitu, usaha Phani Majumdar untuk mengangkat karya agung Melayu satu usaha yang baik.
LANCHANG KUNING
Sinopsis :
Telani seorang penari kepada baginda Sultan Siak dan menganggap bahawa Sultan Siak terpikat dengannya. Pada masa yang sama, kedua-dua panglima Sultan Siak, iaitu Panglima Alang Yahya dan Panglima Ali juga terpikat dengan Telani. Namun begitu, antara Panglima Alang Yahya dengan Panglima Ali, Telani lebih tertarik kepada Panglima Alang Yahya kerana telah menyelamatkannya daripada mati lemas.
Hal ini tidak menyenangkan Panglima Ali, lalu dia menggunakan pelbagai cara untuk menggagalkan hubungan Telani dengan Panglima Alang Yahya. Rancangan Panglima Ali membuahkan hasil apabila Alang Yahya dan Telani dituduh berlaku sumbang, lalu ditangkap dan dibawa mengadap Sultan. Apabila mereka dibawa mengadap, Sultan Siak menyuruh mereka bernikah. Titah Sultan ini sangat tidak disenangi oleh Panglima Ali. Sewatu Telani mengandung, Panglima Alang Yahya ditugaskan untuk mengutip ufti dengan belayar ke Lingga. Kesempatan ini telah digunakan oleh Panglima Ali untuk membalas dendam.
Panglima Ali telah mempengaruhi Sultan Siak untuk melancarkan Lanchang Kuning. Untuk itu, mereka perlu mengorbankan seorang perempuan bunting sulung dan perempuan itu ialah Telani.
Epik ini dimulai dengan penciptaan dunia. Merujuk kepada Sulawesi Selatan, ketika dunia ini masih kosong, dunia terbahagi kepada tiga kerajaan, iaitu kerajaan Alam Langit, kerajaan Alam Tengah dan kerajaan Alam Ghaib. Kerajaan Alam Langit dan Alam Ghaib telah mengadakan mesyuarat untuk melantik pemerintah di alam Tengah atau Raja Alekawa (Raja Bumi). Raja Langit dikenali sebagai La Patingga, manakala Raja dari Alam Ghaib pula dikenali sebagai Guru Ri Selleng.
Hasil daripada mesyuarat itu, La Patingga bersetuju untuk menghantar anak lelakinya yang sulung, iaitu La Toge’ untuk menjadi Raja Alekawa (Raja Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. Guru Ri Selleng dari kerajaan alam ghaib pula bersetuju menghantar puterinya yang bernama We Nyili’ Timo ke Alam Tengah. Mesyuarat tersebut diadakan bertujuan agar Raja Langit dan Raja Alam Ghaib mempunyai hamba yang dapat menyembah mereka, kerana mereka beranggapan bahawa mereka tidak akan menjadi raja atau dewi sekiranya tiada seorang pun yang menyembah mereka di dunia ini.
Oleh sebab La Patingga dan Guru Ri Selleng bersaudara, maka Batara Guru akhirnya berkahwin dengan sepupunya itu, iaitu We Nyili’ Timo semasa di Alam Tengah. Sebelum Batara Guru dinobatkan sebagai Raja di bumi, beliau perlu melalui ujian selama 40 hari 40 malam. Tamat sahaja ujian itu, beliau diturunkan ke bumi dan dikatakan beliau turun di Ussu’, iaitu sebuah daerah di Luwu’ yang terletak di Teluk Bone. Kemudian, Batara Guru digantikan oleh anaknya yang bernama La Tiuleng dengan memakai gelaran Batara Lattu’.
Batara Lattu’ kemudiannya mendapat dua orang anak kembar, iaitu lelaki dan perempuan yang masing-masing bernama Sawerigading (Putera Ware’) dan We Tenriyabeng. Kedua-dua kembar tersebut tidak dibesarkan secara bersama. Diceritakan bahawa suatu hari, Sawerigading ditakdirkan jatuh cinta dengan kembarnya sendiri kerana menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya sehingga beliau ingin berkahwin dengannya.
Setelah beliau mengetahui bahawa perkara itu merupakan salah satu larangan, maka Sawerigading bertekad meninggalkan Luwu’ menuju ke negeri China dan bersumpah tidak akan kembali lagi. Sepanjang perjalanannya ke kerajaan China, beliau telah berjaya mengalahkan beberapa pahlawan termasuklah pemerintah Jawa Wolio, iaitu Setia Bonga. Setelah tiba di negeri itu, beliau telah berkahwin dengan Datu China yang bernama We Chudai yang dikatakan mirip dengan kembarnya.
Sawerigading digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang sangat perkasa. Antara tempat yang pernah dilawati oleh beliau ialah Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga ( kemungkinan Jawa Timur dan Tengah), Melaka dan lain-lain. Kononnya juga, beliau pernah melawat syurga dan alam ghaib. Antara pengikut beliau ialah terdiri daripada saudara-maranya dari pelbagai rantau. Sepanjang rombongannya akan didahului dengan kehadiran tetamu yang pelik seperti orang bunian, orang berkulit hitan dan sebagainya.
Sawerigading merupakan ayahanda kepada I La Galigo yang memakai gelaran Datunna Kelling. I La Galigo mempunyai perwatakan yang sama dengan ayahandanya, iaitu sebagai seorang kapten kapal, seorang perantau, pahlawan mahir dan perwira yang tiada bandingannya ketika itu. Beliau juga digambarkan mempunyai empat orang isteri yang berasal dari pelbagai negeri. Namun begitu, walaupun Sawerigading dan anakandanya itu terkenal dengan keperwiraaan dan keperkasaaan mereka, akan tetapi merreka tidak pernah dinobatkan sebagai raja. Pemahkotaan anak lelaki I L a Galigo yang bernama La Tenritatta di Luwu’ merupakan penceritaan yang terakhir dalam epik ini.
HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA
Sinopsis :
Pada tahun 120, Empayar Rom ketika itu di bawah pemerintahan Hadrian. Sementara itu, di negara China pula, Dinasti Han merupakan sebuah empayar yang kuat dan telah memperluaskan pemerintahannya ke negara Asia Tengah. Sewaktu angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka yang dipercayai sebagai utara Malaysia untuk berkahwin dengan Puteri China yang cantik dari Dinasti Han.
Walau bagaimanapun, puak lanun dari Geruda mempunyai perancangan berbeza. Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung pengairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang oleh Geruda. Dapatkah Merong Mahawangsa menyelamatkan Puteri China dan menyatukan baginda dengan Putera Rom bagi sebuah perkahwinan yang menemukan dua tamadun besar dari negara Timur dan Barat?
GURINDAM 12 GUBAHAN RAJA ALI HAJI
Sinopsis :
Gurindam Dua Belas mengandungi dua belas fasal yang membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun di akhirat. Persoalan yang terkandung dalam gurindam ini antaranya mengenai akidah dan tasawuf, syariat rukun Islam, kepentingan akhlak, dan konsep pemerintahan. Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran masyarakat, di samping memainkan peranan penting dalam memupuk nilai keperibadian insan berlandasakan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas ini secara tidak langsung mencerminkan individu yang mempunyai keperibadian yang baik.
HANG JEBAT
Sinopsis :
Cerita ini bermula dengan detik kemarahan Sultan Melaka, Sultan Mansur Shah terhadap Laksamana Hang Tuah akibat fitnah Patih Karma Wijaya. Sultan mengambil keputusan menjatuhkan hukuman bunuh ke atasa Hang Tuah dan Datuk Bendahara diperintahkan menyempurnakan hukuman tersebut. Datuk Bendahara dan Datuk Temenggung menasihatkan Sultan agar tidak terburu-buru menghukum pahlawan seperti Hang Tuah yang begitu setia dan berjasa kepada Baginda.
Walau bagaimanapun, Sultan tidak mahu berganjak daripada keputusan yang telah dibuat. Hang Tuah mesti dibunuh dan Datuk Bendahara mesti melaksanakannya. Kumpulan yang diketuai oleh Datuk Bendahara yang membawa Hang Tuah untuk dihukum bunuh telah dihalang oleh Hang Jebat, lalu meminta Hang Tuah melarikan diri.
Namun begitu, Hang Tuah tidak bersetuju dengan permintaan Hang Jebat, dan berkata, "Biarlah aku menjalani hukuman Sultan dan hendaknya janganlah kau cuba menderhaka kepadanya. "
Patih Karma Wijaya yang telah berjaya mengadakan fitnah sehinggan Hang Tuah dihukum bunuh berhasrat agar pangkat yang dianugerahkan Sultan kepada Hang Tuah akan jatuh kepadanya. Berita Hang Tuah dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan telah disampaikan oleh Hang Jebat kepada isteri Hang Tuah. Hang Jebat ingin menuntut bela atas kematian Hang Tuah, namun isteri Hang Tuah menasihatinya agar tidak berbuat demikian.
Sampai masanya Sultan melantik pengganti Hang Tuah, dan Hang Jebat menjadi pilihan Sultan bagi menggantikan Hang Tuah serta dianugerahkan keris Taming Sari. Bagi Hang Jebat pula, dengan adanya keris Taming Sari ini akan memudahkan lagi usahanya untuk membalas dendam atas kematian sahabat yang sangat dikasihinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan