MAKNA DALAMAN
Konsep Keindahan dari
aspek Makna Dalaman
Konsep keindahan amat
sinonim dengan karya klasik kerana merupakan antara unsur terpenting yang harus
digagaskan oleh pengarang bagi menarik hati pembaca untuk menelaah karya yang
dihasilkan. Bahkan dalam hadis Rasulullah S.A.W juga ada menyebut “
sesungguhnya Allah adalah indah dan Ia mengasihi keindahan” (Dr. Farid M. Onn,
1980: 1). Petikan hadis tersebut telah mencerminkan bahawa kepentingan unsur
keindahan dalam kehidupan manusia. Oleh hal yang demikian, para pengkarya
klasik tidak ketinggalan untuk menerapkan unsur tersebut dalam karya
mereka.
Antara keindahan yang
digarap oleh pengarang klasik ke dalam karya adalah keindahan dalaman.
Keindahan dalaman merujuk kepada faedah atau manfaat yang ditampilkan oleh
seseorang tokoh pengarang dalam karyanya. Dalam tradisi Melayu, ‘faedah’
dipandang sebagai makna didaktik, pengajaran daripada ciptaan yang bersifat
keagamaan atau sekular (V.I Braginsky, 1994: 47).
Sejajar dengan
penafsiran terhadap definisi keindahan, karya klasik atau karya agung pula
merupakan karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran,
pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama
sesuatu bangsa. Bagi aspek karya klasik melayu pula adalah karya yang ditulis
atau diungkapkan atau dilisankan( pepatah, pantun, lipur lara dan laian-lain)
dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan
Dunia Melayu ini, sama ada orang Semenanjung tanah melayu, atau orang Melayu
brunei, atau orang aceh, orang bugis, orang minangkabau dan lain-lain yang
menghasilkan karya itu.
Makna Dalaman Karya
Melayu Klasik:
Makna dalaman bermaksud
makna yang disampaikan secara tersirat oleh pengarang untuk para pembaca yang
membaca karyanya. Aspek ini merangkumi pelbagai cabang kerana bergantung kepada
tujuan seseorang pengarang itu memancarkan ideanya dalam sesuatu karya klasik
tersebut. Makna ini boleh meliputi aspek pemikiran pengarang, nilai yang dibawa
oleh pengarang, serta cerminan kepada pegangan hidup dalam sesuatu masyarakat
yang dipaparkan.
Pemikiran
Pengarang
Pemikiran pengarang
merupakan penampilan makna dalaman dalam sesuatu karya klasik juga
dapat dilihat daripada sikap pengarang yang menampilkan pengembaraan
watak yang baik dan mengandungi unsur-unsur pengajaran yang tinggi dalam
sesebuah karya klasik. Fungsi cerita-cerita tersebut pula bukanlah pula sekadar
menggambarkan selok-belok nasib wataknya, tetapi menampilkan atau mewujudkan
idea melalui imej-imej plastis, memenuhi segenap ‘ruang fikiran’ dengan idea tersebut yang disampaikan melalui imej. Dengan hal
itu pula, idea sedemikian membentuk dan mendidik akal pembaca dan
pendengar (V. I. Brinsky, 1994: 59)
Misalnya dalam Hikayat
Hang Tuah yang mengangkat tokoh pahlawan Melayu yang unggul, iaitu Hang Tuah
sebagai watak utama. Menurut pengarang Hikayat Hang Tuah, perpaduan antara raja
dan hamba-hamba setianya yang tidak berpecah-pecah menjamin kejayaan Melaka
dalam bidang politik dan mendatangkan kemakmuran kepadanya (V. I. Brinsky,
1994: 59). Dalam aspek ini, pengarang ingin menegaskan kepada pembaca dasar
kepada kestabilan politik sesebuah kerajaan tidak hanya terletak kepada
kebijaksanaan seseorang pemerintah itu memerintah tetapi juga membabitkan
kesediaan rakyat untuk bersama-sama dengan golongan pemerintah untuk
mengekalkan kestabilan tersebut. Oleh hal yang demikian, pembaca haruslah
mengambil teladan daripada kisah yang dicerna oleh pengarang untuk panduan pada
masa yang akan datang.
Nilai
Jika ditelusuri dengan
lebih terperinci lagi, karya agung juga mempunyai nilai yang tinggi untuk
dijadikan pegangan oleh pembaca. Unsur nilai ini dapat diperhatikan dalam setiap
karya yang dihasilkan oleh pengkarya pada waktu itu. Menurut Nik Hassan Basri
nik ab. Kadir (2007), nilai ialah segala perbuatan, perlakuan atau tindakan
yang bermutu, berdarjat, bertaraf atau elok yang harus dijadikan contoh dan
teladan. Nilai yang dipaparkan dalam karya klasik adalah makna dalaman yang
ingin ditampilkan oleh pengarang.
Nilai yang tidak lupa
untuk dipaparkan oleh tokoh pengarang adalah nilai budaya Melayu. Seperti sedia
maklum, Melayu dan budaya adalah dua entiti yang digabungkan menjadi satu.
Menjadi sebati dan terus meresap ke dalam nurani masyarakatnya. Nilai-nilai
budaya tidak sekadar memaparkan peristiwa sebagai bahan sejarah, soal
masyarakat dan kemanusiaan tetapi juga nilai budaya yang dapat menyingkap
perihal batin, mata hati, budi dan akal (Siti Zainon Ismail, 1996: 225). Oleh
yang demikian, pengarang mengambil nilai ini untuk diterjemahkan dalam karya
mereka.
Spiritual
Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat, spiritual bermaksud hal yang berkaitan dengan atau bersifat
rohani atau jiwa (bukan sifat fizikal), rohaniah. Rohani adalah jiwa manusia
yang tersirat dan sukar untuk ditafsirkan dengan mata kasar. Spiritual manusia
berpusat pada kalbu, dan di dalam kalbu manusia sudah ada potensi-potensi
spiritual yang merupakan format dasar kemanusiaan. Hakikat diri manusia adalah
diri yang rohaniah/ spiritual yang telah tercipta sebelum adanya tubuh biologis
(basyar) ( Ibrahim Abdullah,http://mukmin.com.my/baca.php?kategori=10&id=1747).
Berdasarkan maksud yang dinyatakan spiritual lebih kepada lahiriah manusia yang
sepatutnya didominasikan oleh akal dan iman.
Dalam karya agung
Melayu, elemen spiritual jelas terpampang apabila ditelusuri dengan lebih
mendalam lagi. Misalnya, dari aspek kehancuran nilai persahabatan yang
dipancarkan dalam Hikayat Hang Tuah melalui watak Hang Jebat. Seperti yang
sedia maklum Hang Tuah mempunyai empat lagi saudara, iaitu Hang Jebat, Hang
Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Dalam fenomena yang ingin diperjelaskan
adalah konflik yang dipancarkan oleh pengarang dalam watak Hang Jebat dan Hang
Tuah. Hang Jebat dikatakan telah menderhaka kepada raja dan beliau dikatakan
ingin menuntut bela di atas kematian sahabatnya Hang Tuah. Namun demikian, Hang
Tuah yang dikatakan telah menemui ajal dalam hukuman yang telah dijatuhkan oleh
raja ke atasnya, sebenarnya telah disorokkan oleh bendahara Melaka demi
keselamatan Kesultanan Melaka telah datang ke istana di saat Hang Jebat
mengamuk di istana.
Hal dapat dijelaskan
dalam petikan di bawah:
Maka Laksamana pun
berseru pula, katanya, ‘ Hai Si Jebat derhaka! Sungguh kau berani tidak
melawan! Marilah engkau turun dari istana ini bertikam sama seorang. Maka suara
itu pun terdengar kepada Hang Jebat, dikenalnya suara Laksamana, maka dibuaknya
peranginan itu, maka dilihatnya Laksamana terdiri di tengah halaman itu. Maka
Hang Tuah pun berdebar-debar hatinya.
(Sumber: Hikayat Hang
Tuah, 338)
Dalam petikan di atas,
Hang Tuah telah datang ke istana untuk beradu kekuatan dengan Hang Jebat yang
sebenarnya menuntut bela di atas kematiannya. Hang tuah sanggup mengenepikan
rasa kemanusiaan yang erat, iaitu persahabatan hanya kerana ketaatan kepada
pemerintah. Walaupun Hang Jebat merupakan sahabatnya semenjak kecil namun Hang Tuah
begitu tega melupakannya untuk kedaulatan negeri.
MAKNA LUARAN
Makna luar merupakan makna selapis yang dapat dilihat pada permukaan teks.
Melalui makna luaran, pembaca dapat memahami dengan jelas tentang perkara yang
ingin disampaikan oleh pengarang. Terdapat beberapa aspek yang dapat tergolong
dalam makna luaran seperti gaya bahasa, penggunaan pelbagai bahasa dalam
sesebuah karya, pantun dan sebagainya. Aspek-aspek ini memberikan nilai
keindahan dalam sesebuah karya sastera seperti Hikayat Hang Tuah.
GAYA BAHASA
Gaya bahasa terdiri daripada dua perkataan iaitu perkataan ‘gaya’ dan
‘bahasa’. Secara umumnya, gaya boleh didefinisikan sebagai cara dan
ragam. Sebagai contoh, jika dilihat pada manusia, gaya yang
dimaksudkan ialah cara berpakaian, tingkah laku, cara berinteraksi dan pelbagai
lagi. Bahasa pula merupakan satu sistem yang mewakili benda,
tindakan, idea dan perasaan. Gaya bahasa pula membawa maksud cara
atau ragam sesuatu bahasa itu diguna pakai terutamanya dalam penulisan
karangan. Hal ini demikian kerana, melalui penulisan, pembaca tidak
boleh mengetahui cara atau tindakan penulis ketika menulis sesuatu perkara.
Penggunaan
bahasa terlalu luas terutamanya dalam bidang komunikasi. Komunikasi boleh
berlaku dalam dua keadaan iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan
lisan. Komunikasi lisan merupakan komunikasi yang berlaku secara
terus dan disampaikan melalui perbualan, manakala komunikasi bukan lisan boleh
berlaku dalam penulisan. Gaya dalam komunikasi bukan lisan ialah
gaya penulisan yang digunakan oleh seseorang penulis. Setiap penulis
memiliki gaya penulisan yang berbeza walaupun perkara atau topik perbincangan
yang ditulis adalah sama.
Gaya
bahasa dalam kesusasteraan pula merupakan gaya bahasa yang memiliki kesenian
dan mengandungi nilai estetik yang merupakan nilai yang mampu membangkitkan
perasaan serta mengharukan pembaca sesebuah karya sastera. Selain
itu, gaya bahasa sastera ini juga berperanan untuk menyampaikan maklumat serta
merangsang daya pemikiran pembaca. Penggunaan nilai estetika dalam
penulisan ini menjadikan penulisan tersebut memiliki gaya yang
tersendiri. Sebenarnya, dalam kesusasteraan terdapat banyak jenis
gaya bahasa. Antaranya ialah gaya bahasa kiasan, sindiran, hiperbola
dan peribahasa. Melalui karya agung Hikayat Hang Tuah, didapati
bahawa terdapat penggunaan keempat-empat gaya bahasa ini.
· Kiasan
Sebenarnya, peribahasa, perumpamaan, bidalan dan ungkapan merupakan cabang
kepada bahasa kiasan. Bahasa kiasan ini berfungsi menyindir
seseorang secara halus dan bersopan. Bahasa ini juga terbentuk
daripada analogi dan perbandingan yang berlaku antara satu perkara dengan
perkara yang lain. Bahasa kiasan ini sebenarnya telah wujud sejak zaman
dahulu lagi. Buktinya, nenek moyang kita telah mula menggunakan
peribahasa, perumpamaan, pepatah malah pantun untuk menyindir terutamanya untuk
menyindir golongan pemerintah sekiranya terdapat perkara yang tidak kena dengan
pemerintahan tersebut. Penggunaan kiasan ini menunjukkan adanya rasa
hormat dalam kalangan masyarakat terutamanya perasaan hormat golongan rakyat
jelata terhadap golongan pemerintah.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga terdapat penggunaan unsur gaya bahasa
berbentuk kiasan ini. Penggunaan bahasa kiasan dalam hikayat ini tidak lain
tidak bukan bertujuan untuk menyindir, di samping memberikan nasihat kepada
individu yang disindir. Antara bahasa sindiran yang digunakan oleh
penulis dalam hikayat adalah seperti di bawah, iaitu:
Ular cintamani yang ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa telah
digambarkan sebagai :
……..rupanya dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya seperti emas
sepuluh mutu.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 43)
Berdasarkan petikan daripada hikayat di atas, didapati bahawa penulis telah
menggunakan bahasa kiasan dengan membandingkan saiz pisang emas dan warna emas
untuk menerangkan saiz serta warna ular cintamani yang telah ditangkap oleh
Hang Tuah di Pulau Biram Dewa. Seperti yang kita sedia tahu, pisang
emas bersaiz dan berdiameter besar, manakala emas sepuluh mutu merupakan emas
yang diterangkan sebagai emas yang sangat bermutu tinggi. Oleh hal yang
demikian, didapati bahawa penulis ingin menerangkan warna ular cintamani
tersebut sangat bersinar seperti emas yang bermutu tinggi.
Selain ayat di atas, dapat dikenal pasti bahawa penulis telah menggunakan
bahasa kiasan ini pada halaman yang lain. Selain daripada
menggunakan bahasa kiasan untuk menyindir, bahasa kiasan ini juga boleh
digunakan untuk menggambarkan sesuatu keadaan, benda, perkara atau
seseorang. Berdasarkan ayat di bawa, didapati bahawa penulis
berupaya menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan kecantikan fizikal
seseorang wanita. Ayat yang dimaksudkan adalah seperti di
bawah, iaitu:
Kecantikan dan kejelitaan Tun Teja di bandingkan dengan,
……. bulan purnama empat belas haribulan, gilang gemilang, berkilau-kilauan.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 111)
Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan bahasa
kiasan untuk menggambarkan kecantikan Tun Teja. Bahasa kiasan yang
digunakan dalam petikan di atas adalah untuk menunjukkan perbandingan unsur
alam sekitar dengan rupa paras seseorang. Didapati bahawa penulis
menerangkan kecantikan dan kejelitaan Tun Teja adalah seperti bulan purnama
empat belas hari bulan. Bulan purnama empat belas hari bulan ialah
bulan mengambang yang terang dan kelihatan sangat cantik. Selain
itu, penulis juga menyatakan bahawa kecantikan Tun Teja juga seperti bulan yang
gilang gemilang dan berkilau-kilauan. Perkataan gilang gemilang dan
berkilau-kilauan memang menggambarkan bahawa rupa paras yang sangat cantik dan
berseri-seri.
Sindiran
Sindiran merupakan salah satu bentuk bahasa yang termasuk dalam bahasa
kiasan. Bahasa sindiran terdiri daripada tiga jenis iaitu sindiran
halus, sindiran tajam dan sindiran kasar. Bahasa sindiran ini merupakan bahasa
yang digunakan adalah bertentangan maksudnya dengan perkara yang diujarkan.
Selain disebut sebagai sindiran halus, bahasa ini juga dinamakan sebagai ironi
dan bukan digunakan untuk mengguris hati, memalukan orang lain, tetapi juga
bukan bertujuan untuk tidak mengguris atau memalukan pihak lain.
Dalam karya agung Hikayat Hang Tuah, penulis banyak menggunakan bahasa
sindiran untuk menyindir pihak yang tidak jujur serta pihak yang mendatangkan
masalah dalam sesuatu perkara. Penggunaan bahasa sindiran dalam Hikayat Hang
Tauh dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Maka sahut Tun Tuah, “Pada bicara manira, janganlah seperti pelenter itu
tiadakan manira tikam, jikalau penggawa Majapahit itu sekalipun manira tikam
juga.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 153)
Berdasarkan petikan dalam Hikayat Hang Tuah di atas, didapati bahawa Hang
Tuah menunjukkan keberanian beliau terhadap Patih Gajah Mada. Beliau
menyatakan bahawa beliau bukan sahaja boleh membunuh pencuri, malah beliau
mampu membunuh penghulu bernama Majapahit.
Peribahasa
Peribahasa merupakan salah satu jenis percakapan yang mengandungi
kepandaian akal fikiran yang telah disusun serta indah dan sedap
didengar. Sebenarnya, peribahasa ini telah wujud sejak zaman nenek moyang
kita lagi. Mereka mencipta peribahasa berdasarkan kepada keadaan
sekeliling dan pemerhatian mereka terhadap perkara yang berlaku di sekeliling
mereka. Peribahasa ini juga sebenarnya merupakan salah satu bentuk
bahasa kiasan yang digunakan dalam kehidupan bermasyarakat. Peribahasa ini
mengandungi makna tersirat atau lebih dikenali sebagai makna dua lapis iaitu
perkara yang diujarkan adalah tidak sama dengan maksud yang ingin disampaikan.
Dalam karya Hikayat Hang Tuah, penulis turut menggunakan
peribahasa yang jarang digunakan mahu pun didengar oleh masyarakat masa
ini. Peribahasa yang digunakan adalah seperti di bawah, iaitu:
Maka sahut Jebat, “Inilah pekerjaan yang sempurna. Sepala-pala
jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu: ‘Rosak bawang ditimpa
jambaknya,.” Maka Laksamana berkata pula, “Hai Si Jebat, segeralah bukakan
aku pintu ini.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 356)
Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan peribahasa
‘sepala-pala jahat jangan kepalang’ iaitu perkataan yang digelapkan. Peribahasa
ini telah jarang didengar masa ini. Maksud peribahasa yang digunakan
di atas ialah jika sudah terlanjur melakukan kejahatan, jangan berhenti separuh
jalan. Perkara ini membawa maksud Jebat telah menuduh Laksamana Hang Tuah
melakukan kejahatan dan menyatakan bahawa kejahatan yang dilakukan itu
hendaklah diteruskan sehingga akhirnya. Jelas dilihat peribahasa
yang digunakan di atas bertujuan untuk menyindir sikap Laksamana tersebut.
Peribahasa lain yang terdapat dalam petikan di atas ialah ‘rosak bawang
ditimpa jambaknya’. Peribahasa tersebut membawa maksud seseorang
yang mendapat kesusahan akibat daripada perbuatan rakannya sendiri. Berdasarkan
situasi yang berlaku antara Jebat dan Laksamana Hang Tuah dalam petikan di
atas, Tuah menyatakan bahawa perbuatan jahat yang berlaku bukan disebabkan oleh
dirinya sendiri, malah ia merupakan satu tuduhan yang dilemparkan terhadapnya
kerana sikap atau perkara buruk yang telah dilakukan oleh rakannya sendiri
iaitu Jebat.
· STRUKTUR AYAT
Karya agung merupakan karya klasik yang telah wujud sejak dahulu
lagi. Oleh hal yang demikian, penuls banyak menggunakan format
penulisan klasik. Terdapat pelbagai format penulisan karya
klasik. Antaranya ialah penggunaan ayat songsang dan penggunaan ayat
yang panjang dan berulang-ulang.
·Ayat songsang
Seperti yang kita sedia maklum, susunan ayat biasa ialah didahului dengan
subjek dan seterusnya predikat, tetapi, penulisan ayat songsang ialah predikat
didahulukan dan diikuti oleh subjek. Dalam karya klasik sememangnya
mengandungi banyak penggunaan ayat songsang. Perkara ini berlaku
disebabkan oleh berlakunya pengaruh bahasa Arab yang terdapat dalam bahasa
Melayu klasik. Dalam karya agung Hikayat Hang Tuah juga ada
menggunakan ayat songsang. Hal ini demikian kerana karya agung yang
merupakan karya klasik. Penggunaan ayat songsang dalam Hikayat Hang Tuah
dapat dikenal pasti melalui petikan di bawah, iaitu:
Hatta, berapa lamanya belayar itu, maka nakhoda itu pun hampirlah akan
sampai ke Palembang.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 13)
Setelah sudah bermuat maka nakhoda itu pun turunlah ke perahunya lalu
belayar menuju Palembang.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 13)
Berdasarkan petikan pertama, didapati bahawa subjek bagi ayat tersebut
ialah ‘nakhoda itu’, manakala predikat bagi ayat tersebut ialah ‘pun hampirlah
akan sampai ke Palembang’ dan ‘ Hatta, berapa lamanya belayar itu’. Oleh
hal yang demikian, ayat tersebut sepatutnya ditulis ‘Nakhoda itu pun hampirlah
akan sampai ke Palembang setelah berapa lamanya belayar’. Merujuk
kepada ayat kedua pula, subjeknya ialah ‘nakhoda itu’ dan predikat bagi ayat
tersebut ialah ‘pun turunlah ke perahunya lalu belayar menuju Palembang’ dan
‘Setelah sudah bermuat maka’. Oleh hal yang demikian, ayat yang
sepatutnya mengikut rumus subjek + predikat ialah ‘Nakhoda itu pun turunlah ke
perahunya lalu belayar menuju Palembang setelah sudah bermuat’.
Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit
Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit merupakan salah satu ciri
bahasa Melayu klasik. Penggunaan ayat yang meleret-leret juga dapat
dilihat dalam karya klasik. Penggunaan ayat yang panjang dalam
Hikayat Hang Tuah dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Apabila tuan puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan
melihat segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaiannya
terlalu indah-indah - rata terbang itu pun dengan perhiasan keemasan – datang
mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna mutu manikam, maka Tuan
Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anak raja besar turun
dari keinderaan.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 6)
Berdasarkan pernyataan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan ayat
yang terlalu panjang untuk menerangkan sesuatu perkara. Petikan di
atas menggunakan 58 perkataan hanya dalam satu ayat. Bilangan
perkataan yang terlalu maksimum dalam satu ayat dapat membuktikan bahawa ayat
tersebut ditulis dengan panjang. Penggunaan ayat yang berulang-ulang
dalam karya klasik juga dapat dilihat melalui Hikayat Hang Tuah pada halaman
sebelas dan petikan tersebut adalah seperti di bawah, iaitu:
Hatta, berapa lamanya, tuan puteri pun hamillah. Maka
Sang Sapurba terlalu sukacita melihat isterinya hamil itu. Setelah
genaplah bulannya, maka tuan puteri pun berputerakanlah seorang lelaki; terlalu
elok rupa dan sikapnya. Maka Sang Sapurba pun terlalu sukacita hatinya
kerana melihat anakanda baginda itu. Maka dinamai baginda Sang
Manika. Maka dipeliharakan dengan sepertinya. Syahadan maka
baginda pun mengias akan anakandanya dengan inang pengasuh dan pupuk rabun
sekalian akan Sang Manika. Hatta, beberapa lama antaranya, maka tuan
puteri pun hamillah. Setelah genap bulannya, maka tuan puteri
berputera pula seorang laki-laki elok rupanya. Maka dinamai oleh
baginda, Sang Jaya Nantaka. Maka dipeliharakan ayahanda baginda
dengan inang pengasuhnya, ditahunya akan anakanda baginda itu jadi raja besar
tetapi merasai hal dahulu, makan pagi dan petang pun tiada diperoleh. Hatta,
berapa lamanya, maka tuan puteri pun hamillah pula. Setelah
genap bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang laki-laki terlalu
elok rupanya. Maka dipeliharanya akan baginda seperti anak yang dahulu itu.
Maka dinamai oleh baginda, Sang Saniaka. Hatta beberapa bulan
lamanya, maka tuan puteri pun hamillah pula. Setelah
genap bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang laki-laki terlalu
elok rupanya dan parasnya. Maka baginda pun terlalu kasihnya akan
anakanda baginda itu, dipeliharakan dengan sepertinya. Maka dinamai
oleh baginda, Sang Satiaka.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah:11)
Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis banyak menggunakan
frasa ‘maka tuan puteri pun hamillah’ dalam satu perenggan yang sama. Penggunaan
frasa yang sama iaitu sebanyak empat kali dalam satu perenggan membuktikan
bahawa karya klasik sememangnya banyak menggunakan pengulangan ayat.
BAHASA
Penggunaan bahasa yang pelbagai sangat berleluasa dalam bidang penulisan
terutamanya penulisan karya klasik. Hal ini demikian kerana pada
zaman dahulu, masyarakat mempelajari pelbagai bidang bahasa dan kemahiran
tersebut diaplikasikan dalam penulisan. Penggunaan bahasa yang
pelbagai ini adalah pengaruh daripada masyarakat Arab, Jawa dan Parsi yang
datang ke alam Melayu dengan tujuan perdagangan dan menuntut ilmu. Selain
daripada itu, terdapat juga penggunaan bahasa istana terutamanya dalam aspek
gelaran.
Bahasa Sanskrit
Bahasa Sanskrit merupakan bahasa yang digunakan oleh golongan kasta tinggi
dalam kalangan masyarakat beragama Hindu. Oleh hal yang demikian,
masyarakat berkasta rendah tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan
bahasa ini. Pada masa ini, bahasa Sanskrit tidak lagi digunakan dan
banyak perkataan daripada bahasa Sanskrit ini telah diserap ke dalam bahasa
moden. Dalam Hikayat Hang Tuah juga ada menggunakan perkataan
Sanskrit. Buktinya dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
… maka baginda pun memandang kepada Laksamana seraya bertitah, “Hai Laksamana,
apa bicara Laksamana kita hendak suruh ke Benua Rom itu?”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 491)
Berdasarkan petikan di atas, didapati penulis menggunakan perkataan
Sanskrit iaitu perkataan ‘Laksamana’ yang mana perkataannya digelapkan dalam
petikan di atas. Dalam bahasa Melayu, perkataan ‘Laksamana’ membawa maksud
tanda atau markah utama. Berdasarkan hikayat ini, penulis ingin
menegaskan bahawa Hang Tuah yang digelar Laksamana Hang Tuah kerana sifat
kepewiraan dan keberanian beliau. Selain itu, terdapat beberapa lagi
petikan yang mana menunjukkan wujudnya penggunaan perkataan Sanskrit dalam
Hikayat Hang Tuah. Petikan di bawah menunjukkan wujudnya penggunaan
perkataan Sanskrit, iaitu:
Maka kata syahbandar, “Apatah salahnya yang anakku mengakukan hamba bapa?
Adapun yang anakku ini anaklah kepadaku.” Maka kata syahbandar, “Apa nama rajadutanya
dan upadutanya?”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 507)
Tatkala ini Kisna Rayan pun sudah keluar diadap oleh segala raja-raja dan ceteria dan
perdana menteri, sida-sida, bentara dan hulubalang sekalian.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 392)
Adapun bicara manira, mana segala penggawa dan penjurit
yang bercakap hendak menikam Ratu Melaka itu, pada ketika inilah baik
dititahkan pergi ke Tuban juga; masakan ia sampai ke Majapahit ini.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 299)
Berdasarkan ketiga-tiga petikan di atas, didapati pengarang Hikayat Hang
Tuah menggunakan perkataan Sanskrit. Dalam petikan pertama, didapati
bahawa penulis menggunakan perkataan rajaduta dan upaduta. Perkataan
rajaduta tersebut membawa maksud ketua dalam sesebuah perwakilan atau lebih
dikenali sebagai duta besar, manakala upaduta membawa maksud penolong kepada
rajaduta atau duta besar tersebut. Petikan kedua pula memperlihatkan
penulis menggunakan perkataan Sanskrit ceteria yang membawa maksud kesatriaan
atau hulubalang. Hulubalang ini merupakan salah satu jawatan dalam
sesbuah kerajaan lama. Seterusnya, penulis turut menggunakan
perkataan Sanskrit penggawa dalam petikan ketiga di atas yang membawa maksud
ketua atau penghulu kampung.
· Bahasa Arab
Bahasa Arab merupakan salah satu bahasa yang digunakan oleh penulis zaman
dahulu dalam penulisannya. Hal ini demikian kerana pengaruh bahasa
Arab ini berleluasa di alam Melayu akibat daripada masyarakat Arab yang
berhijrah serta menuntut ilmu di alam Melayu sehinggakan bahasanya boleh
mempengaruhi penulisan karya-karya Melayu. Hikayat Hang Tuah yang
merupakan salah satu karya Melayu tidak terlepas daripada mendapat pengaruh
daripada bahasa Arab. Terdapat pelbagai perkataan Arab yang
digunakan dalam karya tersebut. Contoh perkataan Arab yang digunakan
adalah seperti dalam petikan di bawah, iaitu:
Bismi'llahi'rrahmani'rrahim; wabihi nasta'inu bi'llahi'l-a'la. Ini hikayat Hang Tuah yang amat setiawan pada tuannya
dan terlalu sangat berbuat kebaktian kepada tuannya.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 3)
Setelah baginda menengar Tun Tuah demikian itu maka baginda dengan
sepah. Maka disambut oleh Tun Tuah sepah raja itu lalu dijunjungnya
serta dimakannya seraya berkata, “Daulat tuanku, insya-Allah Taala,
disampaikan Allah Taala juga tuanku ke Majapahit itu dan selamat kembali juga
ke Melaka.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 132)
Maka dalam hati Tun Tuah. “Ya rabbi, ya saiyidi, ya maulana, ya
Tuhanku, Engkau juga yang terlebih tahu dan amat berkuasa dan Engkau juga yang
mengetahui dalam hati hambamu bahawa perempuan ini ibuku…
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah:221)
“Sesungguhnya tuan anak kepadaku. Bermula pisau itu sebuah
negeri dengan isinya tiada kutukarkan. Adapun yang kasih anakku itu Allah Taala
juga membalas dia, tetapi insya-Allah Taala, barang di mana tempat anakku itu
dipeliharakan Allah Subhanahu wa Taala juga; bala dijauhkan
Allah Taala pada kadam.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 347)
Berdasarkan keempat-empat petikan di atas, didapati bahawa terdapat
penggunaan kata atau frasa Arab iaitu kata atau frasa yang digelapkan. Dalam
petikan pertama, penulis menggunakan frasa Arab iaitu
Bismi'llahi'rrahmani'rrahim; wabihi nasta'inu bi'llahi'l-a'la, manakala dalam
petikan kedua, penulis menggunakan perkataan Arab insya-Allah Taala. Dalam
petikan ketiga, penulis menggunakan perkataan Arab Ya rabbi, ya saiyidi, ya
maulana dan dalam petikan terakhir, penulis telah menggunakan frasa Arab Allah
Subhanahu wa Taala.
· Bahasa Jawa
Bahasa Jawa merupakan salah satu bahasa yang mempengaruhi penulisan karya
klasik. Dalam penulisan Hikayat Hang Tuah turut memuatkan perkataan
Jawa terutamanya dalam kisah Hang Tuah ke Jawa. Penggunaan perkataan
Jawa dalam Hikayat Hang Tuah dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Maka kata Barit Ketika, “Nyaris manira mati bersembunyi di
bawah kedai.” Maka Petala Bumi pun berkata, seraya tertawa, “Masakan engkau
seorang merasai? Aku pun nyarisnya mati; baik sempat aku menjadikan diriku
tunggul.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 310)
Maka Patih Gajah Mada pun mengarang surat dan bingkis dan segala permainan
dua belas ragamnya akan permainan cucunda itu dan perempuan yang baik-baik
rupanya yang tahu memalu bunyi-bunyian empat puluh dan anak priyai empat
puluh dan keris berulu emas bersarungkan permata empat puluh bilah dan
budak-budak yang bongkok empat puluh dan tombak pengawitan yang bertatahkan
ratna murni manikam dan bersampak emas empat puluh bilah.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 266)
Maka Laksamana pun rebah tidur. Maka setelah dilihat oleh
Laksamana penjurit itu tidur terlalu nyedarnya, maka Laksamana
pun bangun lalu dihunusnya penduanya itu lalu ditendasnya kepala Sang Marga
Paksi itu ketujuhnya
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 320)
Maka Rangga pun segera mengunus kerisnya, seraya berkata, “Hai Laksamana, den
eling, pakanira, kerana orang mengamuk itu banyak.”
(Dipetik
daripada Hikayat Hang Tuah: 271)
Berdasarkan petikan yang pertama di atas, didapati bahawa penulis telah
menggunakan perkataan Jawa iaitu ‘manira’ yang membawa maksud saya. Dalam
petikan yang kedua di atas pula, penulis menggunakan perkataan ‘priyai’ iaitu
perkataan Jawa yang merupakan gelaran bagi golongan yang berpangkat
tinggi. Petikan ketiga pula memperlihatkan penggunaan perkataan Jawa
‘penjurit’ yang membawa maksud pejuang atau askar upahan serta dalam petikan
keempat pula penulis menggunakan perkataan ‘den eling’ yang bermaksud supaya
ingat atau beringat.
· Bahasa Parsi
Dalam Hikayat Hang Tuah turut melibatkan penggunaan bahasa
Parsi. Penggunaan perkataan dalam bahasa Parsi ini dapat dilihat melalui
petikan di bawah, iaitu:
Setelah sudah diajarnya, Laksamana pun menuangkan arak lalu diberikannya
pada Marga Paksi itu. Adapun arak itu dibihaus. Maka kata Marga
Paksi, “Arak ini kalau-kalau engkau bubuh racun, minumlah engkau dahulu
kulihat.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 320)
Berdasarkan petikan di atas, didapati terdapatnya perkataan ‘dibihaus’
iaitu perkataan Parsi yang membawa maksud dibius.
· PANTUN
Pantun ialah ragam puisi yang hidup dalam kalangan rakyat dan bersifat
kemelayuan. Khasnya pantun mempunyai sajak dan irama, pilihan suku kata dan
perkataan. Pantun telah sedia hidup dalam masyarakat Melayu sudah lama sebelum
orang-orang Melayu tahu menulis dan membaca. Orang Melayu mencipta pantun untuk
melahirkan pelbagai bentuk perasaan dan merupakan satu seni yang indah. Mereka
menggunakan pantun untuk berkasih-kasihan, memberi nasihat, suka-suka,
berjenaka, menyindir dan untuk menyatakan rasa sedih.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011: 67), pantun ialah karya puisi Melayu
lama yang bukan sekadar sarat dengan makna tetapi juga padat dengan nilai
keindahannya. Nilai keindahannya dapat dilihat jika kita sensetif dan peka
dengan struktur binaan dan gaya bahasa sesebuah rangkap pantun. Menurutnya
lagi, struktur binaannya tidaklah dibina dengan sewenang-wenangnya tetapi
memerlukan perhatian dan kepekaan daripada semua aspek termasuklah pemilihan
leksikal, sukatan suku kata, dan jumlah barisnya yang terhad. Semua perkara itu
disusun dengan rapi dan teliti dalam satu bentuk pemikiran yang mantap dan
dijelmakan dalam ungkapan yang indah melalui rangkap-rangkap pantun.
Dalam hikayat Hang Tuah, banyak pantun yang dimasukkan oleh pengarang teks
ini. Terdapat satu adegan Hang Tuah berbalas pantun bersama-sama dengan
sahabat-sahabatnya. Mereka berbalas pantun sambil bersuka ria di taman larangan
Betara Majapahit. Hang Jebat dan Hang Kasturi memulakan pantun tersebut:
Hang
Jebat Hang Kasturi,
Budak-budak
raja Melaka,
Jika
hendak jangan dicuri,
Mari
kita bertentang mata.
Laksamana
pun membalas pantun:
Lokan
melata di perahu,
Belah
baling bertandan,
Bukan
aku tiada tahu,
Akulah
hulubalang minta lawan.
Hang
Lekir membalas pantun, demikian bunyinya:
Adakah
perisai bertali rambut,
Rambut
dipintal akan cemara,
Adakah
bisa tahu takut,
Kami
pun muda lagi perkasa.
Hang
Lekiu berpantun yang berbunyi:
Ambil
galah kaitkan jantung,
Banyak
makan di jalan,
Pada
Allah tempat bergantung,
Datang
tombak kita melawan.
(Hikayat
Hang Tuah: 182-183)
Sumber: http://www.yayasankaryawan.com/index.php?option=com_content&task=view&id=6&Itemid=1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan