Tajus-Salatin yang bermaksud mahkota raja-raja dipercayai dikarang oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603 Masihi di Acheh. Para pengkaji telah mengklasifikasikan teks ini kepada ketatanegaraan kerana mengandungi panduan bagi raja-raja, khususnya raja-raja di Alam Melayu untuk menjalankan pemeritahan negeri dengan sebaiknya, di samping melaksanakan hubungan baik antara pemerintah dengan rakyatnya. Selain itu, Tajus Salatin juga menyentuh peranan menteri dan pegawai berkaitan pemerintahan serta hal-hal berkaitan dengan pendidikan anak-anak, budi pekerti, dan tanggungjawab rakyat kepada raja. Menurut Hooykaas dalam Seri Lanang Jaya Rohani et. al, percubaan Abdullah Munsyi untuk mengenal budi Raffles melalui air mukanya jelas membuktikan pengaruh kitab ini terutamanya berkaitan firasat.
Kandungan Tajus-Salatin dapat dibahagikan kepada lima perkara penting, iaitu soal agama, pemerintahan raja, tanggungjawab pembesar, hubungan rakyat dengan pembesar, hubungan rakyat denga raja, dan soal pendidikan. Kitab ini juga menghuraikan perkara-perkara berikut:
- Peri manusia mengenal diri
- Peri mengenal Tuhan
- Dunia itu apa dalam hidup manusia bertapa
- Peri kesudahan segala manusia ketika mati
- Peri pangkat kerajaan dan hukuman Sultan
- Peri perbuatan adil
- Peri pekerti raja yan adil
- Peri segala kafir dan adil
- Peri zalim dan perbuatan sekalian yang zalim
- Peri keadaan segala menteri dan kemuliaan pangkat
Menurut Seri Lanang Jaya Rohani et. al(2013) lagi, Tajus-Salatin menekankan beberapa aspek kepercayaan dan keimanan kepada Allah sebagai asas kehidupan manusia yang boleh dilihat dalam fasal pertama, kedua, dan ketiga yang menyatakan kepentingan manusia mengenali Allah, tidak kira sama ada zat atau sifatnya. Selain menjadikan alam ini, Allah turut menjadikan manusia, lengkap dengan lima pancaindera, iaitu deria penglihatan, bertutur, mendengar, menghidu, dan merasa. Allah juga menganugerahkan nafsu kepada manusia. Jika manusia gagal mengawalnya, maka ia akan membawa padah ke atas dirinya.
Selain itu, kehidupan manusia juga dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu permulaan, pertengahan, dan penghabisan. Pada peringkat permulaan, manusia itu dikatakan hina dan keji disebabkan empat anasir asal-usul kejadian manusia iaitu tanah, air, api, dan angin. Pengarang menjelaskan bahawa tanah asalnya manusia ialah tanah yang paling rendah, kemudian datangnya manusia darinutfah, iaitu air mani kaum Adam dan seterusnya membesar di dalam rahim ibu.
Pada peringkat pertengahan pula, manusia melalui pelbagai nikmat yang tidak terkira sehingga membuatkan mereka alpa dan gagal untuk mengawal nafsu yang dianugerahkan oleh Allah. Tajus-Salatin juga menerangkan bahawa kegagalan manusia mengawal nafsu akan mendatangkan keburukan kepada diri manusia sendiri. Oleh itu, manusia haruslah mengingati bahawa segala nikmat yang dimiliki ini datangnya daripada Allah yang mengizinkan segala-galanya.
Peringkat kehidupan manusia yang penghabisan ialah kematian. Hal ini kerana dunia hanya persinggahan menuju destinasi akhirat yang akan kekal untuk selama-lamanya. Manusia juga harus percaya bahawa seksaan kubur dan hari perhitungan di padang Masyhar itu akan menentukan sama ada akan ditempatkan ke dalam syurga atau neraka berdasarkan dosa dan pahalanya di atasa muka bumi.
Persoalan lain yang dikemukan dalam Tajus-Salatin ialah dasar ketatanegaraan. Pengarang menekankan prinsip pemerintahan yang perlu dijalankan, misalnya dengan mencontohi kepimpinan nabi-nabi, rasul-rasul, serta khalifah-khalifah Islam yang lain. Hal ini bersesuaian dengan corak kepimpinan Islam yang mengkehendaki pemimpin berlaku adil dalam apa juga hukuman kerana pemimpin dianggap sebagai khalifah Allah.
Tambahan lagi, pengarang juga memberi penekanan terhadap pendidikan akhlak kerana keluarga bertanggungjawab sepenuhnya untuk memberi didikan asas kepada anak-anak sebagai mana yang dituntut dalam Islam. Sekali lagi pengarang menjadikan kisah-kisah nabi sebagai contoh dalam mendidik akhlak anak-anak.
Persoalan ekonomi juga ditimbulkan oleh pengarang dengan mengingatkan manusia bahawa rezeki yang diperoleh merupakan anugerah Allah. Oleh itu, manusia tidak seharusnya lupa akan kewajipan menunaikan zakat dan fitrah yang juga merupakan Rukun Islam mengikut nisab yang telah ditetapkan.
Berdasarkan persoalan dan pemikiran ini, kita dapat menyatakan bahawa pengarang ingin melengkapkan Tajus-Salatin dengan semua aspek, baik dari aspek politik, ekonomi, mahupun sosial. Kesemua aspek ini diambil kira sebagai garis panduan kepada raja-raja yang menginginkan kesempurnaan di dalam pemerintahan kerajaannya.
Rujukan
Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah, Hj. Mohd. Rashid Md. Idris, dan Hj. Naffi Mat, (2013). Penghayatan karya agung. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan