Teori Falsafah Bahasa dicipta oleh Mohd Rashid Md Idris melalui hasil gandingan mantap antara Teori Relatif dengan Teori Kenuranian Bahasa. Berdasarkan Rajah Teori Falsafah Bahasa, terdapat tiga bahagian iaitu bulatan, anak panah(dua hala), dan garisan putus-putus).
Bulatan merupakan bentuk yang memerlukan manusia berbahasa secara sempurna dari segi nahu, makna, dan tujuannya. Oleh itu, ujaran mestilah dalam konteks yang difahami, disenangi oleh pendengar, dan bertujuan baik selaras dengan tuntutan syarak. Bentuk ini juga menggambarkan bahawa bahasa mencerminkan keseluruhan kehidupan dan agama masyarakat Melayu, iaitu Islam yang perlu diamalkan secara holistik.
Anak panah(dua hala) pula menggambarkan wujudnya hubungan langsung, iaitu secara tersurat antara penutur dengan pendengar, iaitu hubungan sesama manusia. Kegiatan menghantar maklumat dan maklum balas dilakukan supaya kegiatan berbahasa itu aktif dan dapat memenuhi keperluan bersama.
Sementara itu, garisan putus-putus pula menunjukkan bahawa terdapat hubungan langsung, iaitu secra tersirat antara manusia dengan Pencipta. Banyak perkara yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-Nya agar manusia dapat mengecap kenikmatan dunia, anugerah akal untuk berfikir, dan anugerah bahasa.
Teori Relatif menyatakan bahawa bahasalah yang mempengaruhi pemikiran dan cara hidup seseorang individu dan masyarakatnya. Walau bagaimanapun, dalam konteks pemikiran Islam, hidup mati seserang itu adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah sepenuhnya. Oleh sebab itulah, Teori Kenuranian Bahasa juga diperlukan untuk melengkapi dapatan tersebut.
Dari situlah lahirnya Teori Falsafah Bahasa yang cuba mengetengahkan situasi yang lebih jelas tentang perlunya seseorang itu menggunakan alat-alat artikulasi dengan cara yang betul. Kesempurnaan berbahasa dapat dilaksanakan dengan mengambil kira tiga prinsip asas, iaitu;
- Berbahasa mengikut nahunya
- Berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar
- Berbahasa untuk tujuan ibadah dan mentaudihkan Allah
Rujukan
Mohd Rashid Md Idris, (2012). Teori falsafah bahasa. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan