1. 0 PENDAHULUAN
Pengenalan
Setiap
bangsa bertamadun mempunyai karya agungnya yang tersendiri. Dalam masyarakat
Melayu, karya agung yang terkenal ialah Hikayat HangTuah. Dalam meletakkan
kedudukan karya Hikayat Hang Tuah di sisi kesusasteraan Melayu, ramai pengkaji
menimbulkan berbagai-bagai kontroversi mengenai kedudukan sebenar karya ini.
Hikayat Hang Tuah adalah satu-satunya contoh sastera epik yang ditakrifkan
sebagai sastera epik berunsur kebangsaan atau sastera kepahlawanan berunsur
kebangsaan. Hikayat ini dianggarkan terkarang selewat-lewatnya pada abad ke-17,
terkemudian daripada Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Selain Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah termaktub sebagai sebuah karya
sastera Melayu yang terindah.
Hikayat
Hang Tuah merupakan karya kesusteraan Melayu tradisional yang dikategori
sebagai karya agung kebangsaan kerana mengemukakan tokoh agung bagi bangsa
Melayu. Watak Hang Tuah memang tidak dinafikan amat disanjung oleh bangsa
Melayu semenjak 500 tahun yang lampau. Karya Agung merupakan sebuah prosa yang
tebal dan panjang. Begitulah juga halnya dengan Hikayat Hang Tuah yang
mengandungi lebih daripada 500 halaman dengsn lebih kurang 146 00 patah
perkataan yang terkandung dalam karya ini. Berdasarkan latar Hikayat Hang Tuah
juga menepati ciri-ciri karya Agung kerana ceritanya bukan sahaja berkisar di
Melaka tepati berkisar di Majapahit, Siam, China, Arab, mesir dan Turki.
Menurut Mohd Sharifuddin dan Mohd Lani (1999) dalam buku Sejarah dan Kritikan
Sastera, dalam sastera Melayu hanya terdapat satu karya Agung sahaja yang
mengetengahkan tokoh bangsa Melayu iaitu Hikayat Hang Tuah. Gambaran ketokohan
Hang Tuah diwarnai unsur-unsur supernatural untuk menjadikannya sebuah karya
agung dan sekali gus mengangkat martabat bangsa. Keperwiraannya terserlah semenjak
beliau masih kecil lagi sehingga digambarkan dapat menewaskan lanun-lanun di
pulau dan orang mengamuk di pasar.
1.2 Sinopsis Hikayat Hang Tuah
Isi
cerita hikayat ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kisah awal, zaman
kegemilangan dan zaman kemerosotan.
i)
Bahagian awal
Kisah
dimulai dengan memperkenalkan asal-usul raja Bentan yang dikatakan berasal
daripada Palembang. Bahagian ini lebih menceritakan tentang kisah Hang Tuah
yang semasa kecil yang dikaitkan dengan zaman awal kerajaan Melayu Melaka.
Kisah Hang Tuah sewaktu kecil, mengenai keluarganya yang berpindah dari Sungai
Duyung ke Bintan. Terdapat juga kisah-kisah Hang Tuah bersama lima orang
sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Sejak
berumur 10 tahun lagi Hang Tuah telah menunjukkan kelebihan dan keberanian yang
bersama-sama rakannya berjaya mengalahkan lanun, berusaha pergi berburu dan
berjaya menyelamatkan seorang pembesar negeri daripada amukan orang mengamuk
dengan hanya menggunakan sebilah kapak. Bendahara yang diselamatkan oleh Hang
Tuah amat tertarik dengan sifat-sifat
keberanian Hang Tuah itu, lalu memberitahu Sultan tentang kehebatan Hang Tuah
dan sahabatnya. Oleh hal yang demikian, Hang Tuah telah diambil bertugas di istana.
Juga diceritakan bagaimana Hang Tuah turut melihat peristiwa ganjil sewaktu
Raja Bentan berburu di mana anjing perburuan raja telah ditendang oleh seekor
pelanduk putih. Tempat berlaku kejadian aneh itu dibuka dan dijadikan sebuah
negeri bernama Melaka sempena nama pokok melaka yang menjadi tempat bersandar
sultan ketika raja melihat kejadian tersebut. Selain itu diceritakan juga
mengenai Raja yang telah menghadiahkan sedikit minuman kepada Hang Tuah dan
Bendahara serta turut diberikan persalinan kepada Hang Tuah.
ii)
Bahagian Kegemilangan
Kegemilangan
kerajaan Melayu Melaka dikaitkan dengan ketokohan dan kepahlawanan Hang Tuah.
Hang Tuah memiliki kedudukan tempat yang paling penting dan teristimewa di
istana Melaka. Hang Tuah yang merupakan pahlawan Melaka memberikan sepenuh taat
setia dan patuh kepada segala perintah raja. Kegagahannya menyebabkan Hang Tuah
terkenal sebagai seorang pahlawan Melaka yang terbilang. Banyak negeri di
takhluki dan menjadi tanah jajahan serta tunduk di bawah kekuasaan raja Melaka.
Selain itu diceritakan juga tentang Hang Tuah yang sebagai pengiring raja yang
taat dan berani. Beliau pernah mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit dan
memperolehi keris Taming Sari setelah mengalahkan seorang hulubalang Majapahit.
Hang Tuah berjaya mempertahankan martabat Raja Melaka, juga menambahkan
kedaulatan negeri Melaka di mata negeri lain. Melaka berjaya mencapai puncak
kebesaran dan kekuasaannya hasil daripada keberanian dan ketokohan Hang Tuah.
Sebagai seorang pahlawan yang tiada tolok bandingnya, ramai musuh-musuh yang
cuba menganiayanya namun mereka telah berjaya dibunuh.
Setelah
terserlah kehebatan beliau di mata dunia, Hang Tuah telah mendapat gelaran
Laksamana. Hang Tuah juga dilantik sebagai diplomat dan utusan Melaka ke luar
negeri seperti utusan ke Siam, China, Benua Keling, Rome, Sailan dan juga ketua
angkatan perang. Sifat-sifat Hang Tuah yang sabar, bijaksana dan warak membawa
kejayaan yang cemerlang kepada kerajaan Melaka dan ini dengan sendirinya
menambahkan kebesaran dan kedaulatan Raja Melaka. Sifat Hang Tuah yang tiada
tolok bandingannya ialah ketaatan kepada rajanya. Sungguhpun sultan telah
berlaku tidak adil pada dirinya dengan menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul
periksa, akibat fitnah, (Hang Tuah diselamatkan oleh Bendahara) tetapi apabila
dia dipanggil oleh sultan bagi menghapuskan perbuatan derhaka Hang Jebat, dia
bersedia berkhidmat kepada sultan tanpa menaruh perasaan dendam. Malah dia
sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri
iaitu Hang Jebat, walaupun Jebat menderhaka kerana membela keadilan atas berita
pembunuhan Hang Tuah. Bagi Hang Tuah, “Pantang Melayu menderhaka kepada
rajanya”. Hang Tuah juga bersedia menjalankan tugas membawa lari anak Bendahara
Pahang iaitu Tun Teja bagi dipersembahkan kepada Sultan Melaka. Hang Tuah tidak
mudah dikalahkan selagi dia memiliki keris Taming Sari.
iii)
Bahagian akhir (zaman kemunduran)
Kegemilangan
dan kekuatan Hang Tuah semakin beransur pudar setelah Hang Tuah semakin tua.
Ini dikaitkan juga dengan kemunduran kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hikayat Hang
Tuah, kemunduran Melaka kali pertamanya dilambangkan dengan kisah Sultan Melaka
yang telah kehilangan mahkotanya. Mahkota itu adalah tanda kebesaran kerajaan.
Ketika peristiwa itu terjadi, baginda sedang bermain-main di laut Singapura,
apabila Baginda menundukkan kepalanya setelah melihat seekor ikan emas yang
dikatakan berada di bawah perahunya. Ketika itulah mahkota pusaka Bukit
Siguntang itu terjatuh ke dalam laut. Hang Tuah telah menyelam untuk mengambil
kembali mahkota tersebut dan berhasil mengambilnya. Tetapi ketika hampir sampai
di perahu, tiba-tiba datang seekor buaya putih menyambar keris daripada
pinggang Hang Tuah. Mahkota pun terlepas dari tangannya dan keris Taming Sari
yang dimiliki oleh Hang Tuah telah dirampas oleh seekor buaya putih. Sejak
itulah Hang Tuag hilang kekuatan dan kegagahannya. Selepas berlaku peristiwa
tersebut ,sultan amat bersedih. Beberapa lama kemudian, Feringgi datang
menyerang Melaka. Sultan terpaksa berundur dan Hang Tuah meninggalkan kehidupan
di dunia dengan hidup bertapa di gunung.
2.0 ISI PERBINCANGAN
2.1
Analisis Karya Agung Hikayat Hang Tuah
dalam
kajian yang kami lakukan, Hikayat Hang Tuah telah dianalisis berdasarkan tiga
aspek utama iaitu melibatkan konsep kepengarangan, kekuatan kepengarangan dan
motif kepengarangan.
2.2 KONSEP KEPENGARANGAN
Hampir
setiap bangsa di dunia ini mempunyai karya epik atau hikayatnya yang
tersendiri. Jikalau orang India terkenal dengan Ramayana dan Mahabharata, orang
Greek berbangga dengan Iu’ad dan Odyssey, orang Inggeris mengagungkan Beowulf
manakala dalam masyarakat Melayu pula, Hikayat Hang Tuah merupakan antara karya
epik yang menjadi kebanggaan bangsa dan telah diangkat menjadi sebuah Karya
Agung Melayu. Karya Agung Melayu ialah karya yang tertulis dalam bahasa Melayu,
tidak kira di manakah daerah asalnya di dunia Melayu ini dan yang mampu
mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran,
sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu
turun-temurun. Pendek kata, Karya Agung Melayu merupakan warisan budaya kesusasteraan
bangsa Melayu.
Sebenarnya,
jika dikaji tidak dapat ditentukan bilakah Hikayat Hang Tuah ini ditulis dan
siapakah pengarangnya. Namun ada yang menganggarkan bahawa Hikayat Hang Tuah
ini telah ditulis di antara tahun 1641 dan 1736. Hikayat Hang Tuah tidak
ditulis secara menyeluruh dalam tempoh yang singkat atau dalam masa yang sama.
Ini terbukti dengan penggunaan bahasa dan teknik penyampaian cerita yang tidak
sama. Terdapat lebih kurang 20 versi Hikayat Hang Tuah yang bertulisan tangan
telah ditemui kemudian kumpulkan dan berada di England dan Netherlands. Menurut
Sulastin Sutrisno (1983), kebanyakan naskhah Hikayat Hang Tuah yang ditulis
tidak lengkap sebagai sebuah hikayat dan setakat ini hanya 3 buah edisi sahaja
yang lengkap ceritanya dan telah diterbitkan iaitu Edisi Shellabear, Edisi
Balai Pustaka dan Edisi Dewan Bahasa Dan Pustaka. Edisi Shellabear yang
diterbitkan pada tahun 1909 adalah berdasarkan naskhah yang dimiliki oleh Raja
Muda Perak iaitu Raja Abdul Jalil, putera Sultan Idris. Edisi Balai Pustaka
yang diterbitkan pada 1966 pula berdasarkan naskhah kepunyaan Koninklijik
Bataviaasch Genootschap yang ditulis dalam tulisan Jawi. Manakala penulisan
Hikayat Hang Tuah Edisi Dewan Bahasa Dan Pustaka yang diterbitkan pada tahun
1964 oleh Kassim Ahmad pula adalah berdasarkan kepada naskhah yang pada asalnya
dimiliki oleh Almarhum Tengku Ibrahim Ibni Tengku Muhammad atau Tengku Seri
Utama Raja yang merupakan anggota kerabat Diraja Kelantan.
Hikayat
Hang Tuah ini merupakan sebuah hasil karya sastera Melayu lama yang unggul.
Hikayat Hang Tuah mengandungi banyak ciri-ciri sastera antaranya mitos, unsur
epik, firasat dan sebagainya. Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu
yang lahir pada zaman kegemilangan masyarakat Melayu tradisional. Kisahnya
mencakupi segala pesanan dan gagasan yang harus direnung dan dicerna oleh
bangsa Melayu di zaman moden ini khususnya seperti ungkapan semangat Melayu
“Takkan Melayu hilang di dunia”.
Pelbagai
konsep yang telah dicerapkan oleh penulis di dalam Hikayat Hang Tuah ini
antaranya dari aspek bentuk. Sastera rakyat Melayu dapat dibahagikan kepada dua
bentuk. Pertama, berbentuk cerita iaitu kisah atau naratif. Kedua pula
berbentuk bukan cerita iaitu bukan kisah atau bukan naratif. Sastera rakyat
Melayu berbentuk cerita disebut juga cerita rakyat atau cerita lisan, terdiri
daripada beberapa jenis cerita, antaranya cerita lipur lara, cerita teladan,
cerita binatang, cerita jenaka, mitos, lagenda dan hikayat. Sastera rakyat
berbentuk bukan cerita pula sebahagian besarnya berupa puisi seperti ungkapan
rakyat, nyanyian rakyat, ungkapan adat, teka-teki, pantun dan gurindam. Dalam
kelompok sastera rakyat berbentuk cerita, mitos, lagenda dan hikayat berbeza
daripada cerita-cerita lipur lara, teladan, binatang dan jenaka. Perbezaan ini
dapat ditinjau dari sudut kepercayaan, latar masa, latar tempat, sifat dan
pelaku utama. Hikayat Hang Tuah merupakan sastera tulisan yang berbentuk cerita
atau naratif.
Konsep
yang kedua pula ialah tulisan. Kedatangan Islam telah membawa perubahan yang
amat ketara terhadap masyarakat Melayu ketika itu. Perubahan bukan sahaja dari
aspek tauhid dan akidah malahan sistem tulisan masyarakat Melayu ketika itu
turut berubah. Sebagaimana yang diketahui tulisan Jawi adalah berasal dari
tulisan Arab. Pendakwah-pendakwah Islam berketurunan Arab telah menerapkan
sistem tulisan Arab dalam tulisan Jawi. Tujuan utama mereka melakukan usaha
sedemikian adalah bagi memudahkan proses pembacaan. Bagi memudahkan ejaan,
tanda baris atas dan bawah tulisan tersebut telah dimansuhkan. Tulisan atau
aksara dalam hikayat ini dipinjam daripada bahasa Arab. Kemudian ditambah
dengan huruf-huruf baharu. Sistem ejaan yang digunakan dalam Hikayat Hang Tuah
ini merupakan sistem ejaan Jawi. Penggunaan huruf Jawi atau tulisan Arab ini
dapat dilihat dengan jelas sekali menerusi perkataan “Bismillahirrahmanirrahim”
dan “wabihinastainubihi” yang kerap kali digunakan di dalam Hikayat Hang Tuah.
Perkataan tersebut telah ditulis dengan menggunakan huruf Jawi.
Konsep yang ketiga pula ialah
konsep bahasa asing yang digunakan di dalam Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang
Tuah banyak menerima unsur-unsur bahasa asing antaranya hikayat tersebut
menerima pengaruh bahasa Arab, Portugis, Jawa dan Sanskrit. Contoh perkataan
yang menerima unsur pengaruh bahasa Arab yang terdapat di dalam Hikayat Hang
Tuah ialah firasat, hatta, mukah, shahadan, al-kesah, kaus,ikrar, dan wasiat.
Seterusnya, contoh perkataan yang
menerima unsur pengaruh bahasa Portugis yang terdapat di dalam Hikayat Hang
Tuah ialah lanchao yang bermakna sejenis perahu layar yang laju, armada pula
bermaksud angkatan laut yang terdiri daripada kapal-kapal perang, gebernador
yang bermaksud gabenor, seridadu yang bermaksud soldadu dan perkataan
di-mitar-nya yang bermaksud ditujunya.
Selain itu, Hikayat Hang Tuah juga
menerima unsur pengaruh bahasa Jawa. Contoh perkataan yang terdapat di dalam
hikayat ini ialah perajurit yang membawa maksud pejuang atau askar upahan,
pateh iaitu penasihat utama kepada raja, rama andika iaitu ayah tuanku, menira
bermaksud saya, paman iaitu bapa saudara sebelah emak atau dibahasakan juga
kepada orang-orang lebih tua, kedayaan bererti ‘pengiring’ dan lawang membawa
maksud ‘pintu luar’ dan lain-lain lagi.
Kemudian, Hikayat Hang Tuah turut
menerima unsur pengaruh bahasa Sanskrit. Antara contoh perkataan Sanskrit yang
terdapat di dalam hikayat ini ialah mahkota, singgahsana, pustaka, duta,
dirgahayu, dan lain-lain lagi. Jika dikaji secara teliti, penggunaan kata
gelaran “Laksamana” banyak digunakan di dalam penulisan hikayat. Gelaran
“Laksamana” yang dianugerahkan kepada Hang Tuah dipercayai berasal dari
perkataan Sanskrit yang bermaksud tanda atau markah keutamaan. Gelaran
Laksamana diberikan kepada Hang Tuah yang merupakan lambang kesetiaan dan
ketaatan yang sepenuhnya terhadap raja-raja.
Konsep yang keempat pula ialah
pengulangan kata. Gaya bahasa melibatkan cara dan gaya seseorang pengarang
menyampaikan buah fikiran dan pandangannya sendiri melalui hasil karyanya. Gaya
bahasa yang baik melibatkan banyak penggunaan perbendaharaan kata. Menerusi
penelitian terhadap Hikayat Hang Tuah, pengulangan perkataan-perkataan tertentu
banyak didapati di dalam hikayat ini. Sebagai sebuah hasil karya klasik dan
agung, gaya bahasa pengulangan adalah perkara yang lazim didapati.
Perkataan-perkataan yang sering kali digunakan secara berulang-ulang di dalam
Hikayat Hang Tuah adalah setelah, alkisah, hatta, maka, sebermula, arakian,
syahadan dan sekalian.
Konsep
yang kelima pula ialah penggunaan kosa kata klasik. Selain dari konsep-konsep
yang telah dibincangkan, Hikayat Hang Tuah juga dilihat sering kali menggunakan
kosa kata klasik yang berasal dari Arab, Jawa, Siam, Sanskrit dan lain-lain
lagi. Antara contoh kosa kata klasik yang dimaksudkan adalah seperti ratna mutu
manikam, edan kesmaran, sahaya, masygul dan lain-lain lagi. Jadual dibawah
menunjukkan antara contoh kosa kata klasik yang digunakan dalam Hikayat Hang
Tuah beserta terjemahannya yang dilakukan dalam bahasa Melayu Moden.
2.3 KEKUATAN PENGARANGAN
Kekuatan
kepengarangan yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini adalah berdasarkan tema
dan persolan yang cuba ditonjolkan oleh pengarangnya kepada masyarakat. Tema
dan persoalan yang menarik akan menjadikan sesuatu karya itu diangkat untuk
menjadi sebuah karya yang agung. Hikayat Hang Tuah tergolong dalam sastera epik
yang ditulis untuk mengagung-agungkan tokohnya iaitu Hang Tuah yang muncul pada
zaman kerajaan Melayu tradisional. Hang Tuah merupakan watak yang digambarkan
sebagai seorang yang hebat kerana menjadi keagungan bangsa, agama dan
negara. Hang Tuah juga turut menjadi
lambang kekuatan dan kemegahan bangsa Melayu. Keagungan Hang Tuah menjadi
kekuatan dalam Hikayat Hang Tuah kerana ketokohan Hang Tuah boleh dijadikan
contoh untuk rakyat berkongsi tokoh yang sama untuk dijadikan ikutan dan dapat
menaikkan semangat bagi penyatuan bangsa.
Hang Tuah juga merupakan tokoh yang
berbangsa Melayu yang diwarnai dengan supernatural untuk menjadikannya agung
dan sekali gus dapat mengangkat martabat bangsa. Keperwiraan Hang Tuah ini
terserlah semenjak beliau masih kecil lagi sehingga digambarkan dapat
menewaskan lanun-lanun di pulau dan orang mengamuk di pasar. Hang Tuah juga memiliki
pelbagai hikmat seperti tidak mabuk meminum arak, boleh menguasai dua belas
bahasa dan dapat bertemu dengan nabi Khidzir. Kebangunan, kebesaran dan
kejatuhan Melaka adalah berhubung rapat dengan ketokohan Hang Tuah.
Ketika
Hang Tuah masih kecil, kerajaan Melaka baru didirikan dan apabila Hang Tuah
besar pula, beliaulah yang menjadi orang kanan bersama Bendahara. Manakala di
dalam urusan pentadbiran dan urusan keselamatan dalam negeri, suara Hang Tuah
menjadi suara muktamad yang bermaksud segala keputusan yang dikatakan oleh Hang
Tuah akan disetujui oleh raja. Apabila Hang Tuah jatuh sakit Melaka diancam
oleh Portugis dan terus kalah apabila beliau berundur dari perkhidmatan negara.
Hal ini menjadikan Hang Tuah sebagai lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka.
Ketokohan dan keperwiraan Hang Tuah yang ditonjolkan oleh pengarang inilah yang
menjadi kekuatan dalam Hikayat Hang Tuah disamping tema dan persoalan lain yang
cuba dibangkitkan oleh pengarangnya untuk menyerlahkan lagi kekuatan
kepengarangan dalam Hikayat Hang Tuah.
2.3.1 Tema Hikayat Hang Tuah
Tema
merupakan suatu teknik yang amat penting dalam sesebuah karya kerana temalah
yang menjadi pokok cerita kepada sesebuah karya. Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat (2008) pula, tema ialah sebjek yang menjadi dasar sesuatu pembicaraan,
wacana, karangan, cerita dan sebagainya. Tema juga merupakan tajuk atau pokok
utama sesebuah cerita. Dalam Hikayat Hang Tuah, tema yang cuba ditonjolkan oleh
pengarangnya ialah tema berkenaan dengan ketaatan atau kesetiaan Hang Tuah
kepada rajanya.
Ketaatan
Hang Tuah dapat dilihat dengan banyaknya dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah
merupakan seorang hamba yang perlu mempunyai raja untuk mengabdikan kesetiaan
dan ketaatannya. Oleh itu, kata taat yang menjadi tema dalam hikayat ini telah
menjadi landasan bagi Hang Tuah dalam melakukan segala tindakan terhadap
rajanya. Dalam erti kata yang lain, teks Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah
teks yang menceritakan ketaatan seorang hamba kepada rajanya. Sifat taat yang
terdapat dalam diri Hang Tuah ini menjadikan beliau sanggup melakukan apa
sahaja untuk rajanya.
Sebagai
contoh, Hang Tuah sanggup terjun ke telaga tahi untuk menyelamatkan kuda anak
raja. Dia juga sanggup masuk ke dalam kubur supaya dapat menceritakan kepada
raja bagaimana pengalaman seseorang yang dikebumikan. Hang Tuah juga sanggup
membunuh Hang Jebat iaitu sahabatnya sendiri sedangkan Hang Jebat melawan raja
adalah untuk menuntut bela atas tindakan raja yang menjatuhkan hukuman bunuh
kepada Hang Tuah. Selain itu, Hang Tuah turut sanggup bertarung nyawanya dan
melakukan sesuatu yang tidak rasional dengan melarikan Tun Teja ke negeri
Melaka hanya untuk menunjukkan kesetiaannya terhadap raja Melaka.
2.3.2 Persoalan
Selain
tema, persoalan juga memainkan peranan penting untuk melihat kekuatan bagi
sesuatu kepengarangan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), persoalan
ialah sesuatu yang dipersoalkan atau sesuatu yang menjadi masalah. Persoalan
juga merupakan pembicaraan, perbahasan atau perbincangan yang diketengahkan dalam
sesebuah karya. Terdapat banyak persoalan yang cuba diketengahkan oleh
pengarang dalam Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan persoalan-peroalan inilah yang
akan menjadi kekuatan untuk mengangkat sesuatu karya itu menjadi karya yang
agung.
Sesebuah
karya sastera akan dibina berdasarkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada
episod kehidupan dan kegiatan manusia yang melatarinya. Pengarang akan
menjalinkan persoalan-persoalan ini sehingga menjadi satu rangkaian peristiwa
yang berkesimnambungan antara satu sama lain dan akhirnya dapat membentuk
sebuah karya yang mantap. Kesusasteraan Melayu Tradisional seperti Hikayat Hang
Tuah ini tidak terlepas daripada memaparkan persoalan-persoalan yang dipetik
daripada konteks kehidupan dan budaya masyarakat Melayu tradisional.
Persoalan-persoalan inilah yang akan menjadi kekuatan bagi sesebuah karya.
Antara
persoalan yang ditimbulkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah ialah
persoalan tentang keberanian atau kepahlawanan Hang Tuah. Kepahlawanan Hang
Tuah dapat dilihat berdasarkan sikap dan akhlaknya. Hang Tuah juga mempunyai
sifat-sifat keperwiraan Melayu silam seperti memiliki ilmu batin iaitu ilmu
mempertahankan diri bagi menewaskan musuh. Kepahlawanan Hang Tuah juga dapat
dilihat ketika beliau masih kecil lagi. Hal ini kerana beliau telah mengalahkan
lanun-lanun bersama dengan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir,
Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Semasa beliau masih kecil juga, beliau bersama
kawan-kawannya pernah membunuh empat orang yang sedang mengamuk di hadapan
Bendahara Paduka Raja. Disebabkan peristiwa inilah mereka berlima dilantik sebagai
Biduanda Raja. Bendahara Paduka Raja amat tertarik dengan keberanian mereka
berlima sedangkan segala pegawai dan pertuanan yang mengiringi Bendahara lari
melihat orang mengamuk. Keberanian Hang Tuah dan sahabatnya jelas dinyatakan
seperti yang terdapat di dalam teks berikut:
“Maka
Hang Tuah dan Hang Jebat pun melompat ke kiri ke kanan menyalahkan tikaman
orang itu. setelah lalu, ditikamnya orang itu, maka melompat Hang Tuah dan Hang
Jebat, ditikamnya seorang: itu pun rebah lalu mati”.
(
HHT,1997:37 )
Selain
itu, persoalan tentang kebijaksanaan juga menjadi persoalan penting yang
terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini. Hang Tuah digambarkan oleh pengarang
sebagai seorang yang bijaksana dalam melakukan sesuatu tindakan. Sifat
kebijaksanaan yang ada pada diri beliau ini juga menyebabkan raja Melaka
semakin menyayanginya. Hang Tuah sememangnya seorang pahlawan yang bijaksana,
setiap tindakan yang dilakukan oleh beliau mempunyai tujuan yang tersendiri.
Hang Tuah bukan sahaja bijak dalam tindakannya malah beliau juga bijak dalam
melakukan helah. Pelbagai helah telah digunakan semasa pertarungan. Hang Tuah
juga dikatakan bijak kerana beliau berjaya menguasai 12 bahasa yang
dipelajarinya sejak kecil lagi. Antaranya adalah Bahasa Arab, Bahasa Keling,
Bahasa Siam, Bahasa Cina dan Bahasa Jawa.
… Telah berapa lamanya Hang Tuah
mengaji Qur’an, maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu
pula. Telah sudah tamat pengajiannya, maka dia berkata kepada bapanya, “Ayo
bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba
tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud, “Benarlah seperti bicara anakku
itu.” Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta,
beberapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah
diketahuinya. Maka Hnag Tuah pun berkata pada bapanya hendah mengaji pada lebai
Siam pula supaya diketahuilah akan bahasanya. Setelah sudah diketahuinya akan
bahasa Siam itu, maka Hang Tuah pun mengaji pula pada seorang lebai Cina.
Dengan tiada berapa lamanya maka ia pun tamatlah mengaji bahasa Cina itu. Maka
Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai Jawa hendak diketahuinya akan bahasa Jawa
itu. Kalakian, setelah habislah rata diketahuinya dua belas bahasa itu, maka
Hang Tuah pun pulanglah ke rumahnya…
( HHT, 1997: 24 )
Seterusnya,
persoalan tentang ketangkasan. Kejayaan
Hang Tuah sebagai pehlawan Melayu dilihat berdasarkan ketangkasan beliau
bermain senjata. Terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan Hang Tuah sebagai
seorang yang tangkas. Anataranya peristiwa ketika beliau yang hanya seorang
diri berjaya menumpaskan tujuh puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar.
Hang Tuah mempunyai taktik tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu.
Pada mulanya beliau berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah
menemui satu lorong yang hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar
lorong itu diperbuat daripada batu. Hang Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk
bertahan. Tujuh puluh orang penjurit itu juga masuk ke dalam lorong itu secara
beiringan. Dengan ketangkasan yang dimiliki, Hang Tuah berjaya memancung kepala
penjurit-penjurit tersebut. Selain itu, ketangkasan Hang Tuah juga dapat
digambarkan petikan teks tersebut:
Setelah
sudah Laksamana ke sungai, maka penjurit empat puluh itu pun datang ke kiri
kanan Laksamana, seraya berkata, “Bunuhlah Melayu ini beri mati-mati. Jangan lagi beri lepas.” Maka penjurit itu
pun berbahagi empat, sepuluh hadapan, sepuluh dari kanan, sepuluh dari kiri,
sepuluh dari belakang, lalu ditikamnya pada Laksamana pada tombaknya. Maka
ditangkis oleh Laksamana dengan sarung
keris itu seraya dihunusnya keris panjangnya seraya tertinggung ke sungai. Maka
ditangkiskan oleh Laksamana tikam penjurit itu empat puluh, suatu pun tiada
mengena Laksamana.
( HHT, 1997: 281 )
2.3.3 Pengajaran
Kekuatan
kepengarangan Hikayat Hang Tuah juga dapat dilihat melalui pengajaran yang
terdapat dalam hikayat ini. Pengajaran ini boleh dijadikan pedoman kepada
masyarakat untuk melakukan sesuatu yang baik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2008), pengajaran ialah perihal mengajar atau segala sesuatu yang berkaitan
dengan mengajar. Pengajaran juga membawa makna peringatan atau pedoman. Dalam
Hikayat Hang Tuah terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil untuk dijadikan
pedoman. Antaranya seperti petikan teks ini:
Maka
setelah lagi orang mengamuk enam puluh itu mengamuk segala orang Majapatit,
mana yang terlintang itu dibunuhnya. Setelah dilihat oleh Patih Kerma Wijaya
dan Hang Tuah, orang mengamuk itu datang pula- segala orang yang memalu
bunyi-bunyian Betara Majapahit itu pun habis lari cerai-berai, segala
bunyi-bunyian yang dipalu itu pun habis ditinggalkannya – maka Hang Tuah pun
geram rasanya. Maka ia pun memekik, katanya, “ ceh, barang siapa undur setapak
juga, kupenggal lehernya dengan tempa Melaka ini. Bukan orangnya yang hendak
digertak-gertak itu.”
( HHT, 1997: 205 )
Petikan
ini mengajar kita supaya sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan
terutamanya dalam hubungan sesama manusia. Kadang-kala terdapat manusia yang
sengaja merancang sesuatu tindakan untuk menguji keutuhan sesebuah negara.
Pihak perancang ingin melihat tindakan yang diambil oleh sesetengah pihak
apabila mereka melaksanakan sesuatu perancangan. Hal ini dapat dilihat
berdasarkan peristiwa Majapahit diserang oleh orang mengamuk untuk melihat
sejauh mana keutuhan dan keharmonian golongan masyarakat Majapahit.
Selain
itu, kita juga hendaklah bersama-sama menunjukkan sikap kekitaan, kebersamaan,
dan keberanian untuk menghadapi ancaman daripada orang lain. Kita juga perlu
mengelakkan diri daripada lari apabila berhadapan dengan sesuatu masalah kerana
pengunduran seseorang akan memberi kesan kepada individu lain yang akan turut
menjejaki tindakan tersebut. Hal ini akan mendatangkan kesan seperti kekalahan
dalam pertempuran dan akan memusnahkan tanah air dan bangsa sendiri. Oleh itu,
sikap Hang Tuah yang merah apabila orang-orang Majapahit melarikan diri
daripada orang mengamuk menunjukkan bahawa Hang Tuah tidak mahu orang-orang
Majapahit menunjukkan sikap yang negetif kepada pihak musuh.
Tuntasnya,
berdasarkan tema dan persoalan yang ditonjolkan oleh pengarang boleh menjadikan
karya Hikayat Hang Tuah ini menjadi karya yang agung kerana hikayat ini
mempunyai kekuatan kepengarangan yang tersendiri berbanding karya-karya sastera
tradisional yang lain. Hikayat ini merupakan hikayat yang mengangkat bangsa
Melayu sebagai bangsa yang kuat dan berani berdasarkan watak utamanya iaitu
Hang Tuah. Tema dan persoalan yang dibincangkan juga banyak menekankan tentang
kehebatan wataknya yang menjadi cerminan bagi masyarakat Melayu. Selain itu,
pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini juga turut menjadikan Hikayat Hang
Tuah ini menjadi sebuah hikayat yang agung. Pengajaran ini juga menjadi pedoman
kedapa masyarakat dan menjadi antara kekuatan yang terdapat dalam karya.
2.4 MOTIF PENGARANGAN
Dalam
Hikayat Hang Tuah, pengarang memperlihatkan wira agung Melayu iaitu Hang Tuah
yang mempunyai cirri kehebatan sebagai seorang wira pada zaman kesultanan
Melayu. Watak Hang Tuah ialah simbol kesetiaan orang Melayu kepada Rajanya.
Hang Tuah pada zaman Kesultanan Melaka menjadi pahlawan Melaka yang mempunyai
sifat-sifat kepahlawanan yang luar biasa dan mengagumkan. Pahlawan Hang Tuah
ini menjadi tokoh lagenda yang gemilang dari segi perjalanan hidup dan
pencapaiannya serta amat disanjung oleh orang Melayu. Peranan Hang Tuah juga
dilihat sebagai lambang semangat orang Melayu pada ketika itu.
Selain sifat kesetiaan dan
kepahlawanan, Hikayat Hang Tuah ini juga terdapat sifat kasih dan sayang antara
sahabat yang boleh dijadikan pedoman dan tauladan kepada masyarakat. Selain
itu, pengarang memaparkan sikap orang Melayu itu sendiri yang pada zaman dahulu
sehingga kini sering fitnah menfitnah selain kuat dengan perasaan hasad dengki.
Motif kepengarangan akan dilihat dalam beberapa peristiwa penting dalam Hikayat
Hang Tuah ini. Peristiwa pertama adalah mengenai Hang Tuah dalam buangan di
Inderapura, kemudian kami mengupas pula mengenai perkahwinan Sultan Melaka
dengan Tun Teja, dan akhir sekali kami mengupas pula mengenai pertarungan Hang
Tuah dan Hang Jebat.
2.4.1 Hang Tuah dalam buangan di Inderapura (Bab
9)
Bab
ini menceritakan tentang sifat hasad dengki dan khianat pembesar-pembesar
negeri Melaka terhadap Hang Tuah. Pembesar negeri Melaka telah membuat fitnah
yang menyebabkan Hang Tuah dibuang ke Inderapura. Keadaan ini berlaku akibat
Hang Tuah terlalu disayangi oleh Raja Melaka sejak kembali dari Majapahit.
Antara peristiwa-peristiwa yang membawa kepada berlakunya pembuangan Hang Tuah
ke Inderapura ialah pembesar-pembesar Melaka telah bermesyuarat diketuai oleh
Patih Kerma Wijaya untuk membuat fitnah ke atas Hang Tuah supaya Hang Tuah
dijatuhkan hukuman oleh Raja Melaka. Hasilnya Patih Kerma Wijaya memberitahu
Raja Melaka bahawa Hang Tuah telah
bermukah dengan dayang istana. Tanpa usul periksa dan perasaan marah, Raja
Melaka menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah dan menitahkan Bendahara
Paduka Raja untuk membunuh Hang Tuah.
Bendahara Paduka Raja yang
mengetahui perkara sebenarnya tidak sempat untuk menyatakan kepada Raja Melaka.
Bendahara Paduka Raja menasihatkan Hang Tuah untuk lari ke Inderapura dan
memperhambakan dirinya kepada Bendahara Seri Buana. Di Inderapura, Hang Tuah
memberitahu bahawa dirinya telah difitnah berlaku curang dengan dayang istana.
Hang Tuah diterima oleh Bendahara Seri Buana dan ditempatkan di kampung
Bendahara Seri Buana.
Hang Tuah telah menjadi anak angkat
Dang Ratna iaitu inang Tun Teja yang paling tua. Kebetulan pula Dang Ratna
tidak mempunyai anak. Oleh sebab budi pekerti Hang Tuah yang baik, dia
disayangi oleh Dang Ratna sehingga menyebabkan Hang Tuah menjadi buah mulut
inang-inang lain seperti Dang Rani, Intan Baiduri, Dang Merdu, Dang Senja dan
Cendera Midani. Semasa bermain sepak raga bersama Tun Jenal iaitu anak
Bendahara Seri Buana, Tun Karim dan Tun
Megat, Hang Tuah telah menunjukkan kepandaiannya bermain sepak raga. Tun Jenal
menjemput Hang Tuah untuk datang kerumahnya. Di rumah Tun Jenal diadakan majlis
menyambut kedatangan Hang Tuah. Hang Tuah ingin melihat tarian dan mendengar
nyanyian Inderapura lalu Tun Jenal menjemput biduanda Tun Teja seperti Dang
Merdu, Dang Kemala, Dang Warna, Dang Senja dan Intan Baiduri untuk menari.
Suara dan lemah lembut tarian Hang Tuah sungguh mengkagumkan mereka.
Selepas itu, Hang Tuah dipujuk oleh
Raja Inderapura untuk menetap di Inderapura. Hang Tuah berkawan dengan Tun
Jenal dan anak pembesar-pembesar di Inderapura. Di Inderapura, Hang Tuah
menceritakan pengalaman-pengalamannya semasa berada di Majapahit bersama-sama
dengan Raja Melaka. Hang Tuah menceritakan tipu muslihat Betara Majapahit dan
Patih Gajah Mada yang ingin membunuhnya. Hang Tuah menghadiahkan kain Melaka
kepada Tun Teja iaitu puteri Bendahara Seri Buana yang menjadi tunangan Megat
Panji Alam Terengganu. Oleh sebab terlalu suka mendapat kain daripada Hang
Tuah, Tun Teja menjemput Hang Tuah makan di istananya. Tun Teja mula jatuh hati
kepada Hang Tuah sehingga bermimpi. Mimpi Tun Teja itu disampaikan kepada Hang
Tuah melalui Dang Ratna.
2.4.2 Melarikan Tun Teja (Bab 10)
“Lihatlah
si tua celaka ini! Pada bicaraku, tua jadi penawar, ini tua menjadi racun!
Benarkah engkau berani brkata-kata demikian? Ini bukan kata kau katakan padaku.
Orang tua demikian patut digocoh mulutnya dengan tempurung berbulu! Bukan
barang-barang kata dikatakan. Hendak membunuh kita pula, si hancur lebur ini!
Pada bicaranya, kita mahu akan Tun Tuah itu? Sedang Raja Melaka itu Tuanku
hendak akan kita, kita tidak mahu, ini pula hambanya. Seperkara pula, kita pun
sudah bertunangan; bukan ia tidak tahu. Sahaja ia ini berani.”
(Halaman : 230 – 231)
Bab
ini mengisahkan tentang Hang Tuah berusaha kembali ke Melaka dan memperhambakan
dirinya kepada Raja Melaka agar kesalahannya diampunkan. Oleh sebab Raja Melaka
ingin beristerikan Tun Teja, maka Hang Tuah berusaha membawa Tun Teja ke Melaka
untuk dipersembahkan kepada Raja Melaka. Pada mulanya, Hang Tuah berpura-pura
cintakan Tun Teja dan menyuruh ibu angkatya, Dang Ratna iaitu inang tua Tun
Teja menyampaikan hasratnya tersebut kepada Tun Teja. Pada mulanya Dang Ratna
tidak berani menyatakan hasrat Hang Tuah tersebut. Akan tetapi kerana
kasihankan kepada Hang Tuah, Dang Ratna sanggup menyampaikan hasrat hati Hang
Tuah kepada Tun Teja.
Tun Teja berasa amat marah kepada
Dang Ratna tatkala Dang Ratna menyampaikan hasrat Hang Tuah kerana kedudukannya
tidak setaraf. Dang Ratna digocoh dengan tempurung bebulu menyebabkan muka dan
mulutnya berdarah. Dang Ratna memberitahu Hang Tuah perkara yang sebenarnya.
Keadaan ini menimbulkan kemarahan Hang Tuah yang menyebabkan Hang Tuah berusaha
menghapuskan arang (malu) di muka Dang Ratna. Hang Tuah telah membuat ubat
guna-guna untuk dilumurkan kepada Tun Teja supaya Tun Teja tergila-gilakannya.
Ubat guna-guna itu diberikan kepada Dang Ratna untuk dilumurkan kepada Tun
Teja.
Dengan hati yang cekal dan ingin
membalas dendam atas perbuatan Tun Teja terhadap dirinya, Dang Ratna melumurkan
ubat guna-guna pada badan Tun Teja. Akibat daripada kesan ubat guna-guna itu,
Tun Teja mula mencintai Hang Tuah. Tun Teja memberitahu Dang Ratna supaya
menyekat Hang Tuah yang berpura-pura hendak kembali ke Melaka kerana Tun Teja
ingin bertemu dengannya. Tun Teja diiringi oleh dayang-dayang menyamar keluar
dari istana ke rumah Dang Ratna untuk bertemu dengan Hang Tuah. dalam pertemuan
itu, masing-masing mencurahkan isi hatinya. Dari sinilah lahirnya cinta suci
Hang Tuah terhadap Tun Teja. Tetapi disebabkan niatnya untuk membawa Tun Teja
kepada Raja Melaka, akhirnya timbul konflik dalam diri Hang Tuah. Bagi diri Hng Tuah tiada raja lain di dunia
yang diperhambakan selain daripada Raja Melaka.
Keinginan Hang Tuah untuk melarikan
Tun Teja ke Melaka telah diterima oleh Tun Teja. Hal ini terjadi kerana Tun
Teja ingin melarikan diri dari dikahwinkan denga Megat Panji Alam Terengganu.
Tatkala Hang Tuah berusaha untuk melarikan Tun Teja ke Melaka, Hang Tuah
bertemu dengan Tun Ratna Diraja dan Tun Bija Sura yang singgah di Inderapura.
Hang Tuah menceritakan perihal dirinya yang difitnah dan usahanya untuk membawa
Tun Teja ke Melaka untuk Raja Melaka. Dengan bantuan Tun Ratna Diraja dan Tun
Bija Sura, Hang Tuah telah berjaya melarikan Tun Teja bersama-sama dengan Dang
Ratna ke Melaka. Bendahara Seri Buana menghantar angkatan perang di bawah
pimpinan Seri Maharaja Lela, Tun Jena dan Tun Pekerma untuk menyerang Hng Tuah
yang berlabuh di Pulau Tinggi. Tetapi angkatan itu telah dapat dikalahkan oleh
Hang Tuah dengan bantuan Tun Bija Sura dan Tun Rana Diraja.
Semasa Melaka menyambut rombongan,
yang membawa gajah dari siam, Raja Melaka terpandang Hang Tuah di dalam perahu
tersebut. Di sini Raja Melaka mulai menyesal dengan tindakannya. Hang Tuah
memberitahu bahawa dia menetap di Inderapura dan tidak akan bertuan selain
daripada Raja Melaka dan memberitahu bahawa dia membawa Tun Teja dari
Inderapura yang menjadi idaman Raja Melaka. Raja Melaka terlalu sukacita dan
menghadiahkan sepersalinan kepada Hang Tuah seperti Raja Melaka sendiri yang
mengenakan pakaian kepada Hang Tuah. Raja Melaka memerintahkan Bendahara Paduka
Raja membuat persiapan kedatangan Tun Teja.
Sekali lagi Hang Tuah menghadapi
dilemma dan konflik kerana Tun Teja tidak mahu berkahwin dengan Raja Melaka.
Hatinya adalah untuk Hang Tuah dan kedatangannya ke Melaka sebab ingin
bersama-sama dengan Hang Tuah. Oleh kerana cintanya terhadap Hang Tuah, Tun
Teja sanggup memakan ubat pembenci yang dibuat oleh Hang Tuah agar hatinya akan
membenci Hang Tuah . Akhirnya, Tun Teja telah dikahwinkan dengan Raja Melaka.
Maka jelaslah disini menunjukkan
bahawa pengarang ingin menunjukkan kesetiaan dan ketaatan Hang Tuah kepada Raja
Melaka sehingga sanggup membahayakan diri dan memberikan cintanya kepada
Tuanku. Sebagai hamba rakyat, masyarakat dahulu seharusnya taat setia kepada
pemerintah dan jika tidak akan dianggap derhaka dan akan ditimpa tulah.
Pengajarannya kepada masyarakat pada hari ini ialah, sebagai rakyat biasa kita
seharusnya menghormati dan mentaati pemerintah atau ketua negara yang menjadi
lambang kemegahan orang Melayu.
2.4.3 Hang Tuah Bertikam dengan Hang Jebat (Bab 17)
Maka
Laksamana pun bermain keris panjangnya dua tiga lompat dirasainya tubuhnya
tiada seperti dahulu, tiada memegang keris dan pedang. Maka Laksamana pun
berurut lima hari lima malam. Maka laksamana pun dibawa oleh Bendahara
menghadap Raja. Maka titah Baginda, ‘Dapatkah kekasihku membunuh Si Jebat demikian itu?’ Maka sembah
Laksamana, ‘Daulat Tuanku, patik mohonkan ampun, patik pohonkan keris pandak
patik supaya patik pergi membuangkan Si Jebat derhaka itu.’ Maka titah raja,
‘Ayu laksamana, keris itu sudah kita berikan Si Jebat derhaka itu.’. ‘Wah,
sayangnya keris itu beroleh akan Si
Jebat. Siapatah dapat berhadapan dengan dia?’
(Halaman
375-376)
Dalam
bab ini, pengarang menceritakan kepahlawanan Laksamana Tun Tuah yang bersedia
melaksanakan tugas untuk membunuh Paduka Raja Tun Jebat sehingga Raja Melaka
menganugerahkan keris Parung Sari, iaitu keris kerajaan Melaka yang diwarisi
daripada ayahanda baginda di Bukit Siguntang. Dalam pertarungan dengan Paduka
Raja Tun Jebat, Laksamana Tun Tuah telah berjaya mendapatkan semula keris
Taming Sari dari tangan Paduka Raja Tun Jebat melalui tipu helah Laksaman
Laksamana Tun Tuah . Setelah itu, Laksamana Tun Tuah berjaya menikam Paduka
Raja Tun Jebat tetapi tidak menemui ajal dan mengakibatkan Paduka Raja Tun
Jebat yang cedera parah itu lari dan mengamuk di sekitar Kota Melaka dan telah
membunuh ramai orang yang tidak berdosa. Paduka Raja Tun Jebat akhirnya berjaya
menemui Laksamana Tun Tuah dan Paduka Raja Tun Jebat mati di ribaan Laksamana
Tun Tuah. Sebalum meninggal dunia Paduka Raja Tun Jebat sempat berpesan supaya
Laksamana Tun Tuah memelihara anaknya yang akan dilahirkan oleh Dang Baru.
Selepas kematian Paduka Raja Tun
Jebat, istana Melaka yang baru telah dibina. Mayat Paduka Raja Tun Jebat pula
digantung selama tujuh hari di tengah-tengah jalan raya untuk menjadi suatu
pengajaran kepada orang lain. Tidak lama kemudian, Dang Baru pun melahirkan
seorang anak lelaki yang bernama Hang Kadim, seperti yang telah dijanjikan oleh
Laksamana Tun Tuah Tun Tuah, Hang Kadim telah dihantarnya ke Inderapura dan
dipelihara oleh Bendahara Seri Buana iaitu ayahnda Tun Teja.
Antara motif dan pengajaran yang
dalam diambil dalam bab 17 ini ialah keakraban talian persahabatan antara Hang
Jebat dan Hang Tuah, dimana Hang Jebat berasa amat marah dengan Raja Melaka kerana
menghukum sahabatnya tanpa usul periksa. Namun, kesetiaan Hang Tuah kepada Raja
menyebabkan Hang Tuah sanggup membunuh rakannya sendiri. Pengarang ini
menunjukkan bahawa tuduhan melulu tanpa usul periksa akan menyebabkan kerugian
dan penyesalan yang panjang.
3.0 ANALISIS KESELURUHAN KARYA AGUNG HIKAYAT
HANG TUAH
Berdasarkan
kajian yang dilakukan oleh kami, dapat dianalisiskan bahawa karya agung Hikayat
Hang Tuah telah memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan bahasa
dan peradaban bangsa Melayu. Profesor Mohd Taib Osman telah mengklasifikasikan
bahawa karya agung Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu kebangsaan
yang asli yang terbesar kerana karya agung ini menggambarkan tentang perjuangan
dan tindak tanduk seorang hero kebangsaan dalam sejarah perkembangan bangsa
Melayu. Pengarang telah mengangkat watak Hang Tuah untuk dijadikan sebagai
lambang kemegahan negeri Melaka pada ketika itu dan menjadi sumber inspirasi
dankebanggaan bangsa Melayu. Menurut Kassim Ahmad, hikayat ini telah
menerangkan tentang sikap hidup bangsa Melayu sebelum kedatangan pengaruh
peradaban Barat. Pertama kalinya pembaca Eropah mendapat tahu tentang Hikayat
Hang Tuah daripada mubaligh Belanda Francois Valentijn Oud en Nieuw Oost-Indie
yang terbit pada tahun 1726. Dalam buku itu, pengarang menyifatkan hikayat
tersebut sebagai “Intan yang jarang terdapat” dan merupakan sebuah karya agung
Melayu yang paling indah.
Hikayat
hang Tuah merupakan sebuah epos wira dalam bentuk bertulis yang diserap
semangat kebangsaan sedalam-dalamnya. Hooykaas telah menyifatkan Hikayat Hang
Tuah sebagai “Malay Legendary Novel” yang mempunyai unsur-unsur sejarah.
Hikayat Hang Tuah menyalurkan mesej bagi
menanamkan rasa taat setia rakyat terhadap raja dan Negara, dan menggalakkan
rakyat berasa bangga terhadap negaranya. Dia sentiasa berusaha menjaga maruah
bangsa, meninggikan martabat raja dan Negara dan mempertahankan kedaulatan raja
dan negaranya. Hang Tuah seorang pahlawan yang gagah perkasa, dan kepahlawanan
Hang Tuah menjadi inspirasi dan semangat perjuangan kepada bangsa Melayu.
Hikayat Hang Tuah menjadi sebuah teks pahlawan bangsa yang menjadi kebanggaan
bangsa Melayu. Kata-kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia” masih
menjadi slogan yang keramat dalam meniupkan semangat perjuangan orang Melayu.
“Pantang Melayu menderhaka kepada tuannya” menjadi pegangan bangsa Melayu untuk
terus menumpahkan kesetiaan pada raja dan Negara.
Watak-watak
dalam Hikayat Hang Tuah bertindak dilatari seluruh dunia Melayu yang dipandang
mereka sebagai ‘Tanah Melayu’ yang tunggal serta ‘negeri-negeri asing’ iaitu
Majapahit, Wijayanagar, China, Turki dan Siam. Karangan itu sarat dengan
butir-butir yang mencerminkan keperibadian hidup sehari-hari di kota dan istana
dengan tepat seperti upacara perkahwinan
dan pertabalan sultan, majlis jamuan diraja dan cara menyambut duta asing.
Pendek kata, segenap gambaran hidup Melayu pada abad pertengahan yang unik,
berwarna-warni dan penuh dengan pergolakan.
Sifat
ketaatan Hang Tuah yang luar biasa disamping memiliki sifat-sifat yang mulia
dan berhemah tinggi telah menjadikan ketokohan Hang Tuah bukan sahaja sebagai
lambang kepahlawanan dan keperwiraan bangsa Melayu, tetapi juga sebagai lambang
kebesaran Raja Melaka, kerajaan Melaka dan seterusnya menjadi kebanggaan bangsa
Melayu. Kejayaan pengarang Hang Tuah ialah dalam menggambarkan Hang Tuah
sebagai perwira Melayu. Sifat ini digunakan pada masa bangsa Melayu lemah
moralnya, untuk memulih kembali moral itu atau sekurang-kurangnya menanam
kepercayaan dan pegangan bahawa pada suatu masa dahulu bangsa Melayu bangsa
yang gagah, setia dan mempunyai kesanggupan untuk mendaulatkan bangsanya.
4.0 PENUTUP
Sebagai
kesimpulannya, berdasarkan penelitian yang telah dilakukan melalui tugasan ini
dapatlah disimpulkan bahawa Hikayat Hang Tuah ini merupakan salah satu lambang
keagungan bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah juga telah menunjukkan satu
perlambangan bahawa bangsa Melayu itu yang taat akan sultannya. Bangsa Melayu
pada zaman keagungannya sememangnya merupakan salah satu bangsa yang megah dan
kaya dengan adat istiadatnya.
Walaupun
pada asalnya Hikayat Hang Tuah tergolong
dalam sastera sejarah, tetapi jika dilihat dari segi tema dan persoalan,
Hikayat Hang Tuah sememangnya berbeza dengan teks historigrafi lain yang
menceritakan sejarah sesebuah negeri tetapi hikayat ini menceritakan sejarah
hidup Hang Tuah, oleh sebab itu wajarlah teks ini digolongkan dalam karya agung
kesusasteraan Melayu. Di dalam teks ini terdapat banyak sumber sejarah
berkenaan negeri Melaka di samping gambaran corak organisasi pentadbiran
politik, kebudayaan dan sosio-ekonomi masyarakat Melayu silam itu. Justeru
kerana sifat peribadi Hang Tuah itu diceritakan melalui pendekatan
kesusasteraan epik maka segala aspek yang berkaitan dengan unsur-unsur sastera
epik terdapat di dalam hikayat ini.
Berdasarkan
analisis yang dibuat iaitu berkaitan dengan analisis di sebalik konsep,
kekuatan dan motif kepengarangan, maka jelaslah bahawa Hikayat Hang Tuah dapat
dijadikan sebagai contoh dan teladan kepada masyarakat generasi mendatang. Hal
ini demikian kerana, Hang Tuah digambarkan oleh pengarang sebagai seorang tokoh
yang serba boleh yang menyebabkan negeri Melaka menjadi sebuah negeri yang
terkenal pada masa dulu. Pemikiran pengarang melalui tema, persoalan dan fungsi
jelas menampakkan tentang ketokohan dan kepahlawanan Hang Tuah.
Pendek
kata, karya agung Melayu merupakan warisan budaya kesusasteraan bangsa Melayu.
Karya agung Melayu tradisional merupakan penentuan karya agung Melayu yang
dianggap sebagai hasil kreativiti seni persuratan dan penceritaan dan sebagai
pembentuk tradisi bangsa sehingga memberi kesedaran kebangsaan bangsa Melayu
sepanjang zaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan