LATAR BELAKANG
Syeikh Syamsuddin
al-Sumatrani merupakan anak murid kepada Syeikh Hamzah Al Fansuri. Beliau
merupakan seorang ahli sufi yang terkemuka di Nusantara. Di hujung namanya
tertulis ‘as-Sumatra-i’. Pada semua manuskrip karyanya juga tertulis demikian
namun semua penulis bahkan penulis yang pertama mengubahnya menjadi
al-Sumatrani yang membawa maksud beliau berasal dari Sumatera Indonesia. Sebenarnya
tambahan huruf ‘n’ antara huruf ‘a’ dan ‘i’ yang telah dilatinkan itu hanyalah
salah penyemakan sahaja dari huruf hamzah yang ditulis sebelum huruf ya.
Huruf ya yang diletakkan di belakang perkataan Sumatera itu
menurut kaedah bahasa Arab ialah ya nisbah ertinya dibangsakan.
Oleh itu, Syeikh
Syamsuddin al-Sumatra-i bermakna Syeikh Syamsuddin yang berasal dari Sumatera.
Jika ditambah atau ditukarkan dengan ‘ni’, bermaksud nama tempat asal Syeikh
Syamsuddin yang dibicarakan ini berasal dari Sumatran. Nama Sumatran memang ada
disebut dalam Hikayat Ahmad Bustaman yang merupakan hikayat yang bercorak
dongeng semata-mata. Menurut para sejarawan, penisbahan namanya dengan sebutan
Sumatrani ataupun Pasai yang diletakkan di belakang namanya itu membuktikan
bahawa adanya dua kemungkinan.
Pertama,
kemungkinan besar orang tuanya merupakan orang Pasai. Maka, dengan itu
dikatakan bahawa beliau sememangnya dilahirkan dan dibesarkan di Pasai. Kedua,
sekiranya beliau tidak dilahirkan di Pasai, kemungkinan beliau telah lama menetap
di Pasai. Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani hidup pada abad ke 16 Masihi
sehingga 17 Masihi. Beliau ialah Sheikul Islam atau mufti besar Aceh semasa
zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayid al-Mukammil pada
tahun 1589 sehingga tahun 1604. Pendidikan awal Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani
secara terperinci tidak dapat dikenalpasti oleh para sejarawan tetapi hal yang
pasti ialah beliau merupakan anak murid kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa beliau pernah belajar daripada
Sunan Bonang, iaitu seorang wali Allah di Tanah Jawa.
Syeikh Syamsuddin
al-Sumatrani terkenal sebagai salah seorang pendukung kuat fahaman Martabat
Tujuh yang boleh dikategorikan sebagai fahaman yang mencetuskan kontoversi.
Beliau tergolong dalam kumpulan empat orang ulama agung Aceh. Beliau meninggal
dunia dan di makamkan di Melaka. Beliau dipercayai telah terlibat sama ketika
serangan Aceh ke atas Portugis yang dilancarkan pada tahun 1929 semasa Aceh
berada di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Johan Berdaulat
(1607-1636).
Tarikh wafatnya
telah dicatatkan oleh musuhnya, Nuruddin ar-Raniri iaitu pada malam Isnin 12
Rejab 1039H/1630M. Selama beberapa dekad terakhir dari masa hidupnya, beliau
merupakan tokoh agama terkemuka yang sangat dihormati dan disegani oleh
masyarakat. Makamnya masih lagi kekal terpelihara di Kampung Ketek, kota
Melaka, Malaysia. Kampung tersebut tidak jauh daripada Masjid Kampung Hulu yang
berusia hampir 300 tahun lamanya.
Menurut para
sejarawan, asal usul dan latar belakang Syamsuddin al-Sumatrani agak kabur
kerana tidak dicatatkan dengan terperinci oleh beliau. Hanya sebutan Sumatrani
di belakangnya sahaja yang dapat membuktikan bahawa beliau berasal dari
Sumatera atau Pasai. Terdapat sumber tertua yang dijumpai mengenai kisah
perjalanan hidup Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani. Sumber yang dimaksudkan itu
ialah Hikayat Aceh, Adat Aceh dan kitab Bustanul al-Salatin. Walaupun begitu,
bukanlah keseluruhan perjalanan hidupnya dicatat dalam manuskrip tersebut.
Hanya serpihan-serpihan data sejarah yang terbatas sahaja berjaya ditemui oleh
pengkaji pada waktu itu.
HASIL KARYA
Syeikh Syamsuddin
al-Sumatrani merupakan seorang penulis yang sangat berkebolehan dalam
menghasilkan karyanya. Karya-karya yang ditulis oleh beliau kebanyakannya dalam
tulisan Arab dan bahasa Melayu (Jawi). Antara contoh hasil karya beliau ialah:
- Jawhar
al-Haqa'iq (30 halaman; berbahasa Arab), merupakan karyanya yang paling
lengkap yang telah disunting oleh Van Nieuwenhuijze. Kitab ini menyajikan
pengajaran tentang Martabat Tujuh dan jalan untuk mendekatkan diri kepada
Tuhan.
- Risalah
Tubayyin Mulahazhat al-Muwahhidin wa al-Mulhidin fi Dzikr Allah (8
halaman; berbahasa Arab). Karya yang telah disunting oleh Van
Nieuwenhuijze ini mengandung penjelasan tentang perbezaan pandangan antara
kaum yang mulhid dengan yang bukan mulhid.
- Mir’at
al-Mu'minin (70 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini menjelaskan ajaran
tentang keimanan kepada Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, para
malaikat-Nya, hari akhirat, dan qadar-Nya. Pengajaran dalam karya ini
membincangkan mengenai hal-hal akidah seiring dengan fahaman Ahlus Sunnah
wal Jama'ah (tepatnya Asy'ariah-Sanusiah).
- Syarah
Ruba'i Hamzah Fansuri (24 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini merupakan
ulasan terhadap 39 bait (156 baris) syair Hamzah Fansuri. Isinya antara
lain menjelaskan mengenai pengertian kesatuan wujud (wahdat al-wujud).
- Syarah
Sya'ir Ikan Tongkol (20 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini merupakan
ulasan (syarh) terhadap 48 baris sya'ir Hamzah Fansuri yang mengupas
mengenai soal Nur Muhammad dan cara untuk mencapai fana' daripada Allah.
- Nur
al-Daqa'iq (9 halaman berbahasa Arab; 19 halaman berbahasa Me1ayu). Karya
tulis yang sudah ditranskripsi oleh AH. Johns ini (1953) mengandungi
pembicaraan tentang rahsia ilmu makrifah (Martabat Tujuh).
- Thariq
al-Salikin (18 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini mengandung penjelasan
tentang beberapa istilah seperti kewujudan 'adam, haqq, bathil, wajib,
mumkin, mumtani’ dan sebagainya.
- Mir’at
al-Iman atau Kitab Bahr al-Nur (12 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini
membincangkan tentang ma’rifah, martabat tujuh dan tentang roh.
- Kitab al-Harakah (4 halaman; ada yang berbahasa Arab dan ada pula yang berbahasa Melayu). Karya ini menjelaskan mengenai ma’rifah atau martabat tujuh.
PERANAN DAN PENGARUH
Berbicara tentang
peranan Sumatera yang berfungsi sebagai pusat pengajaran dan perkembangan
Islam, negeri Pasai sememangnya lebih dahulu terkenal daripada Banda Acheh.
Samudera Pasai lebih terkemuka sekitar abad ke-14 dan 15M iaitu sebelum
kerajaan Pasai dikuasai oleh Portugis pada tahun 1514M.Pada zaman pemerintahan
Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil (1589-1604), Syamsuddin
al-Sumatrani menjadi orang kepercayaan Sultan Acheh. Syamsuddin Sumatrani
merupakan orang kedua terpenting dalam kerajaan Acheh selepas sultan.
Beliau mempunyai
kedudukan sebagai jururunding dalam urusan ekonomi dan politik luar negeri
kerajaan Acheh Darussalam. Beliau mempunyai hubungan yang sangat erat dengan
pemerintah kerajaan Acheh. Namun begitu, dalam kitabBustan al-Salathin tidak
dinyatakan dengan lebih terperinci mengenai perjalanan Syamsuddin al-Sumatrani
sehingga beliau menjadi seorang ulama yang paling dipercayai dalam lingkungan
istana kerajaan Acheh selama tiga atau empat dekad.
Syamsuddin
al-Sumatrani merupakan tokoh agama terkemuka yang dihormati dan disegani oleh
masyarakat setempat. Sebagaimana pada waktu dahulu Syeikh Hamzah al-Fansuri
pernah mempunyai pengaruh kepada Sultan Iskandar Muda demikian juga halnya
dengan Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani. Sebarang urusan yang melibatkan pentadbiran
istana, Sultan Iskandar Muda akan menyuruh Syamsuddin Sumatrani untuk
melaksanakannya.
Syamsuddin
Sumatrani merupakan satu dari empat ulama yang paling terkemuka. Beliau
mempunyai pengaruh yang sangat kuat dan berperanan besar dalam sejarah pembentukan
dan perkembangan keintelektualan keislaman di Aceh sekitar abad ke-l7 dan
beberapa dekad sebelumnya. Keempat-empat ulama tersebut ialah Hamzah Fansuri,
Syamsuddin Sumatrani, Nuruddin Raniri, dan Abdur Rauf Singkel. Hubungan Hamzah
Fansuri dengan Syamsuddin Sumatrani diperkukuhkan dengan adanya dua buah karya
tulis Syamsuddin Sumatrani yang merupakan ulasan (syarah) terhadap pengajaran
Hamzah Fansuri. Kedua-dua buah karya tersebut ialah Syarah Ruba’i Hamzah
Fansuri dan Syarah Syair Ikan Tongkol.
Mengenai
hubungannya dengan Nuruddin ar-Raniri, hal ini tidak dapat diketahui dengan
jelas dan pasti. Tujuh tahun selepas kewafatan Syamsuddin Sumatrani, Raniri
diangkat menjadi mufti Kerajaan Acheh pada tahun 1637M oleh Sultan Iskandar
Tsani. Hal ini berlaku disebabkan fatwanya yang memutarbelitkan fahaman wahdatul
wujud yang dipelopori oleh Syamsuddin Sumatrani. Situasi ini
menyebabkan para pengikut Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumatrani dihukum oleh
pihak penguasa dengan hukuman bunuh. Namun begitu, para pengikut fahaman
Sumatrani ternyata tidak musnah sepenuhnya.
Pada akhir tahun
1644, Raniri telah disingkirkan daripada kedudukannya selaku mufti kerajaan
Acheh Darussalam. Beliau terpaksa pulang ke Ranir, Gujerat. Sebagai
penggantinya, Sultan Tajul Alam Safiatuddin (1641-1675) kemudiannya
mempercayakan jabatan mufti kerajaan kepada Saifur Rijal. Saifur Rijal
merupakan seorang Minang yang juga penganut fahaman wahdatul wujud.
Pada waktu itu, beliau baru pulang dan kembali ke Acheh dari kawasan pedalaman
kajian agama di India. Dengan demikian, fahaman tasawuf Syamsuddin Sumatrani
kembali mewarnai corak keislaman di kerajaan Acheh Darussalam.
Walaupun Syeikh
Nuruddin ar-Raniri merupakan musuh paling ketat bagi Syeikh Hamzah al-Fansuri
dan Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani namun beliau tetap mengakui keulamaan
Syamsuddin Sumatrani seperti mana yang dikatakan oleh beliau “syahadan pada
masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin ibnu Abdullah as-Sumatra-i pada malam Isnin
12 Rejab pada tahun 1039 tahun (Hijrah). Syeikh itu sangat alim pada segala
ilmu dan dialah yang termasyhur pengetahuannya pada tasawuf dan beberapa kitab
yang ditakrifkannya”.
Peninggalan
pengaruh Syamsuddin Sumatrani terbukti sangat dominan bahkan sehingga ke hari
ini. Sebagai mufti, penasihat agung dan al-malikul Qadli yang aktif pada dua
zaman pemerintahan yang di dalam hikayat Acheh digelar sebagai Syaikhul Islam
ini, beliau merupakan seorang ulama tasawuf yang dapat menembusi batas
keilmuan. Walaupun beliau mempunyai pemikiran yang bijaksana dalam urusan
politik di dalam dan luar negeri, teguh berjihad fi sabilillah dalam memerangi
penjajah, dan mahir dalam ilmu keagamaan namun apabila berada dalam kalangan
pembesar istana, beliau tetap menjalani kehidupannya sebagai seorang pengamal
ilmu tasawuf.
SUMBANGAN
Sumbangan pemikiran
Islam dalam peradaban Melayu Nusantara sangat besar. Hal ini jelas terbukti
dengan adanya kitab-kitab yang dihasilkan dan telah menjadi sumber inspirasi
dan rujukan dalam kehidupan manusia sejagat. Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani
merupakan seorang mufti besar yang dimiliki oleh Melayu Nusantara telah
menandai peradaban Melayu Nusantara dengan catatan tinta emas. Pemikiran beliau
sangat diperlukan untuk membangunkan peradaban Melayu Nusantara. Buktinya
semasa beliau menjadi mufti di Aceh, negara tersebut telah melalui zaman yang
gemilang semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda.
Bagi membuktikan
bahawa Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani adalah penyambung aktiviti dan
tanggungjawab menyebarkan ajaran gurunya iaitu Syeikh Hamzah Fansuri, beliau
telah mengulas atau menjelaskan karya Syeikh Hamzah al-Fansuri yang berjudul
Ruba’I Syeikh Hamzah al-Fansuri. Kita telah mengenali karya penting ini melalui
transliterasi yang dilakukan oleh A. Hasymi dan lengkap dengan manuskrip Melayu
Jawinya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1976.
Karya beliau banyak
yang telah disenaraikan oleh ramai orang sebelum ini. Terdapat juga karya
beliau yang telah dimuatkan dalam buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik. Dua
buah karyanya yang berjudul Tanbihut Thullab dan Anwarud Daqaid serta
data-datanya telah dimasukkan dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara,
jilid 1. Data lengkap keseluruhan karya Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani telah
dimuatkan dalam buku judul yang sama iaitu dalam jilid 3. Kesemua 12 judul
karya beliau sebelum ini telah dijadikan koleksi Pusat Manuskrip Melayu
Perpustakaan Negara Malaysia.
Kitab Jawahirul
Haqaiq yang mempunyai 30 halaman dan ditulis dalam bahasa Arab merupakan karya
beliau yang paling lengkap. Karya ini telah disunting oleh Van Nieuwhuijze.
Kitab ini menyajikan pengajaran tentang martabat tujuh dan jalan untuk
mendekatkan diri kepada Tuhan. Risalah Risalatul Baiyin Mulahazatil
Muwahhidin ‘alal Muhtadi fi Zikrillah, lapan halaman dan berbahasa Arab ini
juga merupakan karya yang disunting oleh Van Nieuwhuijze. Risalah
ini menerangkan tentang perbezaan pandangan kaum mulhid dengan kaum bukan
mulhid.
Mir-atul Mu’minin
pula yang berbahasa Melayu telah disunting oleh Van Nieuwhuijze ini
menjelaskan ilmu tentang keimanan kepada Allah, para rasul, kitab-kitab, para
malaikat, hari akhirat dan qada’ qadarnya. Jadi pengajaran dalam karya ini
membicarakan hal-hal akidah yang diamalkan oleh ahli sunnah wal jamaah. Syarah
Ruba'i Hamzah Fansuri 24 halaman yang berbahasa Melayu ini merupakan ulasan
daripada 39 bait atau 156 baris syair Hamzah Fansuri. Isinya menjelaskan
tentang pengertian kesatuan yang wujud (wahdat al-wujud).
GAGASAN PEMIKIRAN
Pemikiran tasawuf
di Acheh banyak berkait dengan pemikiran-pemikiran tasawuf di wilayah-wilayah
Nusantara baik dari aspek sejarah mahupun kaedah pemikirannya. Dari aspek
sejarah banyak terbukti bahawa tokoh-tokoh sufi Acheh inilah yang kemudiannya
menyebarkan dan membentuk jaringan-jaringan ke seluruh Nusantara. Manakala,
dari aspek kaedah pula, pemahaman tasawuf di Acheh mempengaruhi daerah-daerah
lain yang cenderung kepada isi dan corak pemikiran tasawuf.
Tauhid merupakan
ajaran utama Syeikh Syamsuddin, iaitu ajaran mengenai kewujudan Tuhan yang esa.
Beliau merupakan penganut fahaman wahdat al-wujud Ibnu Arabi dan
terkenal sebagai salah seorang tokoh terkemuka kaum wujudiyyah di
Aceh. Istilah wahdat al-wujud itu sendiri sebenarnya
bukan diberikan oleh Ibnu Arabi sendiri. Maknanya, Ibnu Arabi tidak pernah
menyatakan bahawa sistem pemikiran ilmu tasawuf itu merupakan fahamanwahdat
al-wujud . Semasa Acheh sedang mengalami kemuncak kejayaannya,
mazhab tasawuf Ibnu Arabi ini telah mendominasi pemikiran dan penghayatan
keagamaan dalam istana dan dalam kalangan masyarakat umum.
Ajaran tasawuf
fahaman wujudiyyah memperoleh kemajuan yang sangat pesat dan
dianut oleh semua lapisan golongan masyarakat. Melalui kitab-kitab dan sejumlah
muridnya, ajaran tasawuf wujudiyyah menjadi ajaran normal dan
mendapat galakan daripada masyarakat Acheh sendiri. Syeikh Syamsuddin
al-Sumatrani mengatakan bahawa tidak ada sesuatu pun yang wujud kecuali Tuhan.
Pandangan tidak ada mawjud selain Tuhan dalam pengajaran
Syeikh Syamsuddin ini disebut sebagai ajaran tauhid murni atau tauhid hakiki (al-tawhid
al-khalis).
Seperti halnya
dengan Ibnu Arabi, pemahaman mengenai mawjud selain Tuhan,
menekankan pemanduan antara tanzih dan tasybih Tuhan.
Apabila dilihat dari sudut tanzih, Tuhan harus disucikan daripada
kesetaraan dan kesamaan penuh dengan alam ciptaannya. Tuhan jelas berbeza
dengan alam semesta kerana Tuhan adalah Dzat Mutlak yang tidak terbatas yang
berada di luar alam yang nisbi ini. Manakala, dari sudut tasybihnya
harus diyakini bahawa adanya kemiripan yang tidak penuh antara Tuhan dan
ciptaanNya. Dengan kata yang lain, Tuhan ialah identik atau lebih tepat serupa
dan satu dengan alam walaupun kedua-duanya tidak setara kerana segala sesuatu
selain Tuhan tidak ada pada diriNya sendiri melainkan hanya ada manifestasi
wujudnya Tuhan.
Perbicaraan
mengenai Martabat Tujuh sebenarnya dimulai oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri, turun
kepada Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani, turun kepada Syeikh Abdur Raud bin Ali
al-Fansuri, kemudiannya turun kepada Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin
al-Asyi dan yang lain-lainnya. Kemudiannya disokong oleh beberapa orang ulama
Asia Tenggara yang lainnya. Antaranya ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani di
beberapa halaman Siyarus Salikinnya, bahkan beliau turut mengiktiraf
karya-karya Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani yang beliau kategorikan ke dalam
ajaran tasawuf peringkat Muntahi (peringkat tinggi).
Tulisan mengenai
Martabat Tujuh juga dilakukan oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang sangat
jelas dalam dua buah karyanya iaitu Ad-Durrun Nafis dan Majmu’ul Asrar. Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fathani juga tidak membantah mengenai konsep Martabat
Tujuh ini tetapi beliau menjelaskan bahawa rumus-rumus perkataan sufi yang
bercorak syathahiyat itu dalam karyanya Manhalus Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis
Shufi dan sebuah lagi karya beliau mengenai tasawuf yang tidak sempat beliau
namakan judulnya. Tasawuf yang tidak berjudul itu sampai sekarang hanya ditemui
dalam dua salinan sahaja iaitu sebuah salinan tersimpan di Pusat Manuskrip
Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dan sebuah salinan lagi menjadi koleksi
peribadi penulis sendiri.
Konsep Martabat
Tujuh lebih cenderung dan mempunyai kaitan dengan teoriTanazzul dalam
ajaran tasawuf. Tanazzul diertikan sebagai turunnya Wujud dengan penyingkapan
Tuhan dari alam ghaib ke alam penampakan melalui beberapa tingkat perwujudan.
Teori ini menggambarkan bahawa manusia sebagai makhluk yang sempurna dan
merupakan pancaran daripada Wujud Sejati yang menurunkan Wujud-WujudNya alam
rohani ke dalam alam semesta. Terdapat empat falsafah yang dapat disimpulkan
yang mendasari fahaman wahdat al-wujud atau wujudiyyah iaitu:
- Kepercayaan
bahawa Tuhan berada dalam kandungan alam ini.
- Kepercayaan
bahawa nyawa itu bukan khaliq dan bukan makhluk.
- Kepercayaan
bahawa al-Quran itu makhluk.
- Kepercayaan
bahawa nyawa berasal daripada Tuhan dan akan kembali kepadaNya.
Daripada hasil
penelitian WC. Chittik, Sadr al-Din al-Qunawi merupakan orang pertama yang
menggunakan istilah wahdatul wujud, cuma beliau tidak
menggunakannya sebagai suatu teknik yang khusus. Selain al-Qunawi, terdapat
ramai tokoh-tokoh lain yang menggunakan istilah wahdatul wujud.
Namun, tokoh yang paling besar peranannya dalam mempopularkan istilah ini ialah
Taqi al-Din Ibn Taymiyyah. Beliau merupakan pengecam keras ajaran Ibnu Arabi
dan para pengikutnya. Pengajaran Syamsuddin Sumatrani tentang Tuhan dengan
corak fahaman wahdatul wujud dapat dikenalpasti daripada
pembicaraannya menegnai kalimat tauhid la ilaha illallah yang secara harfiah
bererti tiada Tuhan selain Allah.
Beliau menjelaskan
bahawa kalimat tersebut bagi salik iaitu penempuh jalan tasawuf tingkat pemula
(al-mubtadi) difahami dengan pengertian bahawa tidak ada ma’bud (yang disembah)
kecuali Allah. Sementara itu, bagi salik yang sudah berada pada tingkat
menengah (al-mutawassith), kalimat tauhid tersebut difahami dengan pengertian
bahawa tidak ada maksud yang dikehendaki kecuali Allah. Bagi salik yang berada
pada tingkat penghabisan (al-muntaha) pula, kalimat tauhid tersebut difahami
dengan pengertian bahawa tidak ada yang wujud kecuali Allah.
Namun, terdapat
perbezaan prinsip antara fahaman wahdatul wujud dari penganut
tauhid yang benar (al-muwahhidin al-shiddiqin) dengan fahamanwahdatul wujud dari
kaum zindiq penganut panteisme. Apabila dilihat daripada satu aspek, kedua-dua
pihak tersebut sememangnya nampak mempunyai pendapat yang sama dalam menetapkan
makna kalimat tauhis la ilaha illallah iaitu tiada wujud selain Tuhan kerana
yang wujud segenap alam ialah bersifat bayang-bayang atau majazi tetapi
sebenarnya kedua-dua belah pihak mempunyai fahaman yang sangat berbeza.
Bagi kaum panteisme
yang sesat ini, mereka memahami kalimat tauhid tersebut sebagai kewujudan Tuhan
sebenarnya tidak ada kecuali dalam pengertian wujudnya alam semesta ini. Jadi,
bagi kalangan panteisme, seluruh alam merupakan kewujudan Tuhan dan kewujudan
Tuhan adalah wujudnya alam. Mereka menetapkan satu kesatuan hakikat tanpa
membezakan antara martabat Tuhan dengan martabat alam. Fahaman tersebut menurut
Syamsuddin Sumatrani merupakan fahaman yang batil dan ditolak mentah-mentah
oleh para penganut tauhid yang benar.
Bagi Syamsuddin
Sumatrani sebagaimana fahaman Ibnu Arabi, keesaan wujud bermaksud tidak ada
sesuatu pun yang memiliki kewujudan yang sebenar kecuali Tuhan. Sementara alam
atau segala sesuatu yang diciptakan oleh Tuhan ada kerana diwujudkan (maujud)
oleh Tuhan. Apabila dilihat dari segi kewujudannya dengan diri sendiri, alam
itu dikatakan tidak ada (ma’dum) tetapi jika dilihat dari segi kewujudannya
kerana wujudnya Tuhan maka jelaslah bahawa alam ini sebenarnya wujud (maujud).
Dengan demikian,
martabat Tuhan sangat berbeza dengan martabat alam. Perkara ini telah
dihuraikan sendiri oleh Syamsuddin Sumatrani dalam ajarannya mengenai martabat
tujuh iaitu kewujudan satu dengan tujuh martabatnya. Ketujuh-tujuh martabat
tersebut terdiri daripada martabat ahadiyyah, martabatwahdah,
martabat wahidiyyah, martabat alam al-arwah, martabat alam
al-mitsal, martabat alam al-ajsam dan martabat alam
al-insan.
Martabat pertama
dikenali sebagai ahadiyyah yang bermaksud hakikat Allah Taala,
martabat Dzat Allah Taala yang diacukan semata-mata kemutlakan Dzat Allah.
Martabat kedua iaitu wahdah merupakan emanasi yang kedua
sehingga konsep diri (Dzat) membawa maksud hakikat Muhammad iaitu bermakna
hakikat Allah. Martabat ketiga iaitu wahidiyyah bermaksud
hakikat insan dan Adam ‘alaihi al-Salam dan sekalian umat iaitu bernama asma
Allah Taala. Martabat ini lebih rendah dari kemungkinan kewujudan manusia.
Martabat keempat
yang disebut sebagai alam al-arwah dinamakan sebagai Nur
Muhammad bermaksud martabat hakikat segala nyawa. Manakala,
martabat kelima iaitu alam al-mitsal ialah martabat segala
rupa dan diibaratkan kehalusan. Martabat keenam disebut sebagai alam
al-ajsam iaitu martabat segala tubuh yang terdiri daripada komponen
angin, air, tanah dan api. Martabat yang ketujuh ialah alam al-insan yang
merujuk kepada martabat hakikat segala manusia dan menghimpunakan segala
perkara yang disebutkan sebelumnya.
Perkara paling
penting mengenai konsep ini ialah martabat ahadiyyah, wahdahdan wahidiyyah yang
merupakan anniyyat Allah Taala manakala martabat alam alam al-arwah,
alam al-mitsal, alam al-ajsam dan alam al-insan merupakan
martabat anniyyat al-makhluk. Oleh hal yang demikian, tiga martabat pertama
ialah qadim (dahulu tanpa permulaan) dan baqa (kekal
tanpa kesudahan) sedangkan empat martabat yang berikutnya disebut sebagai muhdats (yang
diciptakan/dijadikan). Jelaslah bahawa martabat ketuhanan merujuk kepada tiga
martabat yang pertama dan martabat alam atau makhluk lebih kepada empat
martabat yang berikutnya. Konsep martabat tujuh ini banyak difahami dan
dihayati oleh para pengikutnya hingga ke generasi-generasi yang berikutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan