Kepimpinan
Wanita dalam Karya Agung Melayu
Karya
agung Melayu yang menampakkan kepimpinan Melayu adalah dalam Taj-al-Salatin dan Bustan
al-Salatin. Taj-al-Salatin telah dikarang oleh Bukhari
al-Jauhari pada tahun 1603 di Acheh manakala Bustan al-Salatin telah
dikarang oleh Nuruddin ar-Raniri pada tahun 1636. Kedua-dua karya ini juga
menyatakan tentang pemerintahan oleh raja wanita. Di dalam Bustan
al-Salatin, wanita boleh menjadi pemimpin jika wanita tersebut berasal dari
keturunan raja yang memerintah serta kaya dan dihormati dalam kalangan
masyarakat. Raja wanita diukur berdasarkan kepada aspek darah keturunan diraja.
Pengarang memaparkan bahawa darah diraja yang mengalir dalam tubuh setiap waris
perlu dikekalkan walaupun berajakan seorang wanita. Hal ini jelas dapat dilihat
dalam bab dua fasal tiga belas yang menceritakan kejayaan Sultan Taju’ 1-Alam
Safiatun-Din Shah yang telah mengambil tampuk pemerintahan dari suaminya
dilihat penuh dengan kehebatan dari segi adat dan kekayaan kerajaan.
Pandangan
Bukhari al-Juhari dalam karya Tajus al-Salatin tidak menolak
kepimpinan wanita tetapi boleh dilakukan dalam keadaan tertentu untuk mengelak
fitnah, darurat dan sebagainya. Di dalam karya ini juga turut mengemukakan
mengenai sifat-sifat wanita dan syarat-syarat yang perlu dilakukan apabila
seseorang wanita menjadi pemimpin. Di dalam karya ini membicarakan tentang raja
dan pemerintah yang menyatakan tentang peranan, sifat dan ciri-ciri seorang
raja. Sifat-sifat wanita yang digambarkan sebagai insan yang kurang budi,
beremosi, lemah sehingga perlu dilindungi oleh lelaki dan tidak boleh berperang
berbanding lelaki. Namun, wanita boleh menjadi pemimpin dalam bahagian-bahagian
tertentu seperti pemimpin kepada kaum mereka, pemimpin dalam soal-soal yang
berkaitan dengan kewanitaan dan sebagainya yang layak dan bersesuaian dengan
hak asasi wanita. Di dalam karya ini juga turut menyatakan bahawa jika
seseorang wanita ingin memegang kepimpinan yang menyamai lelaki, mereka
seharusnya mempunyai penasihat lelaki seeloknya yang muhrim bagi melancarkan peranan
dan tanggungjawab mereka disamping dapat menjaga dan melindungi batas-batas dan
fitrahnya sebagai wanita dari pandangan Islam. Hal ini sama seperti
yang berlaku kepada wanita dalam Adat Perpatih iaitu perempuan dilihat sebagai
pemimpin di dalam adat (Ibu Soko) namun mereka masih lagi memerlukan lelaki
untuk menjadi penasihat mereka serta memerintah mengikut ajaran Islam serta
adat mereka.
Peranan
golongan wanita dalam politik tradisional Melayu juga mencakupi pelbagai bidang
untuk dikaji secara mendalam. Di dalam Sejarah Melayu, terdapat
peranan golongan wanita tradisional dalam memainkan peranan mereka dalam
struktur politik tradisional Melayu. Tanggapan yang mengatakan bahawa wanita
tidak mempunyai peranan dalam mengubah atau mempengaruhi sistem politik dan
geopolitik dalam kalangan masyarakat pada zaman lampau adalah salah sama
sekali. Hal ini dapat dilihat pada karya Sejarah Melayu yang
menunjukkan kepintaran seorang wanita dalam merebut jawatan dan menguasai
sistem politik di Melaka iaitu seperti yang ditunjukkan oleh saudara perempuan
Raja Rekan yang merupakan seorang wanita telah dilantik oleh Raja Ibrahim
sebagai pengganti baginda. Saudara perempuan Raja Rekan ini menunjukkan bahawa
wanita juga mampu memerintah Melaka di sebalik tabir pada zaman yang hanya
dikuasai oleh lelaki.
Dalam Sejarah
Melayu juga memperlihatkan peranan wanita dalam soal pemerintahan. Hal
ini dalam dilihat pada bab keempat belas iaitu peranan yang ditunjukkan oleh
Raja Tua iaitu nenda Sultan Alauddin Syah untuk membunuh Sultan Mahmud Syah
yang masih kecil dan gering sewaktu dijaga oleh Bendahara Tun Perak dan
Laksamana Tun Perak. Hal ini menunjukkan bahawa wanita berperanan dalam
merancang pengganti Sultan Melaka dan hal ini menggambarkan bahawa wanita
mempunyai kuasa yang menyebabkan berlakunya peralihan kuasa atau perancangan
teliti agar calon tertentu menjadi pemerintah menggantikan seseorang
raja.
Seterusnya,
diperlihatkan juga wanita mempunyai peranan yang kuat dalam urusan pertadbiran
di mana Tun Biajid merupakan anak lelaki Laksamana Hang Tuah yang berkhidmat
untuk Sultan Mahmud Syah. Walaupun begitu, isterinya telah melakukan perlakuan
yang tidak bermoral dengan Sultan Mahmud Syah menyebabkan Tun Biajid enggan
lagi mencampuri urusan pentadbiran Melaka atau membantu Melaka dari segi
menyumbangkan tenaga sebagai pahlawan Melaka. Hal ini memperlihatkan bahawa
begitu besar implikasi dari perlakuan yang tidak bermoral seorang isteri telah
mengakibatkan suaminya yang berkebolehan dalam mempertahankan Melaka enggan
berkhidmat dengan rajanya.
Kebanyakan
sastera hikayat menjurus kepada kisah cinta antara putera dengan puteri raja
yang mengharungi dugaan dan cabaran sebelum hidup bahagia pada akhir cerita.
Dalam proses pengembaraan inilah akan diketahui ciri-ciri kesetiaan dan
ketaatan kedua-dua pihak. Dalam hikayat ini, sama ada dalam bentuk prosa atau
syair, puteri menyamar sebagai perwira yang gagah. Dia keluar dari istana dan
bebas merantau dan menjelajah ke beberapa negeri, berperang sebelum pulang ke
negari masing-masing dan akhirnya menjadi permaisuri dan hidup bahagia
disamping suami dan rakyat jelata yang setia. Inilah keadaan yang ditempuh oleh
Siti Zubaidah dalam Syair Siti Zubaidah,
Perang China yang sanggup meninggalkan istana tempat tinggalnya untuk
menyelamatkan suaminya, Sultan Zainal Abidin daripada cengkaman tujuh orang
puteri raja Cina. Dalam usaha ini, dia menyamar sebagai seorang pahlawan yang
tiada tandingannya. Malah dalam usahanya itu, sebagai seorang ibu yang sarat
mengandung, dia berjaya melahirkan bayi lelaki Siti Indera Mahkota (Syair Siti
Zubaidah Perang China: 237-238) seorang diri dalam hutan.
Setelah zahir
hari nan nyata,
berputeralah
Siti Indera Mahkota,
seorang
laki-laki bagai dipeta,
habis menurut
ayahanda mahkota.
Menangislah ia
seraya berkata,
“ayuhai puteraku
cahayanya mata,
sudahlah takdir
tuhan semata,
di dalam hutan
duduk melata.
Duduk Zubaidah
memeliharakan,
sudah mandi lalu
disusukan,
tujuh hari sudah
diperanakkan,
terlalu susah ia
memikirkan.
Dalam
teks sastera tradisional terdapat beberapa kategori dan syarat yang mesti
dilalui sebelum seseorang itu dianggap sebagai wira. Antaranya ialah
penceritaan sesebuah hikayat bermula dengan pengenalan seorang wira,
termasuklah gambaran tentang tarafnya. Hal ini penting supaya kedudukan
demikian lebih istimewa daripada manusia lain. Demikian halnya dengan Siti
Zubaidah yang disyairkan dengan penuh gilang gemilang melalui Syair Siti Zubaidah Perang China, Sejak
lahir hingga dilantik sebagai Ratu Kembayat Negara. Antara gambaran yang
diberikan (syair Siti Zubaidah Perang China: 43-47)
Terlalu elok parasnya puteri,
muda bangsawan bijak bestari,
Kitab Quran habis dipelajari,
tidak terbanding seluruh negeri.
Puteri Zubaidah konon namanya,
berpatutan rupa dengan namanya,
di negeri Iraq sangat masyhurnya,
seorang tiada tolok bandingnya.
Sebagai
manusia yang akan ditauliahkan sebagai wira, dia disyaratkan supaya mengembara
kerana wira yang istimewa, biasanya disyaratkan begitu. Oleh sebab pengembaraan
ini bersifat keperwiraan dan tidak boleh dilaksanakan oleh kebanyakan orang,
maka wiranya merupakan manusia yang layak dan berupaya menjayakannnya. Keadaan
inilah yang dilalui oleh Zainal Abidin dan Siti Zubaidah. Ketika mengembara,
seorang wira itu harus diberi kuasa istimewa untuk mengelak ancaman musuh.
Untuk kategori ini, Zainal Abidin juga dianggap wira dalam Syair Siti Zubaidah Perang China, dikepung malah dipenjarakan di
dalam perigi beracun oleh tujuh orang puteri Cina. Hasratnya untuk berperang
gagal di pertengahan jalan walaupun pada awal cerita, dinyatakan personalitinya
yang dibekalkan segala ilmu kesaktian dan kepahlawanan. Malah sewaktu hendak
berangkat meninggalkan negara, dia diiringi oleh para pahlawan dan hulubalang.
Antara lain yang digambarkan dalam Syair
Siti Zubaidah Perang China (206-209):
Berangkat baginda sultan mahkota,
diiringkan menteri hulubalang serta,
diapit muda empat sekata,
rakyat dan askar
gegak gempita
akhirnya
dia tewas di tangan musuh yang terdiri daripada kaum wanita. Lain pula halnya
apabila Siti Zubaidah hendak keluar dari istana untuk menyelamatkan suaminya.
Detik Siti Zubaidah mengambil keputusan untuk keluar mencari suaminya
diperihalkan seperti berikut (Syair Siti Zubaidah Perang China 224-226):
serta sudah habis difikiri,
ia pun bangun lalu berdiri,
bersalin kain adat yang bahari,
pakaian buruk itu dicari.
Dimana pakaian
dipakainya itu,
dimasukkan ke dalam bungkus suatu,
lalu bertudung kain suatu,
berjalan keluar
menuju pintu.
Turun dari pintu
sebelahnya,
seorang pon
tidak melihatnya,
berjalan dia
seorang dirinya,
ke ujung negeri
itu menujunya.
Demikianlah
cara Siti Zubaidah keluar dengan azam untuk menyelamatkan suami dan negaranya.
Pengalaman Siti Zubaidah lebih mencabar. Dia berseorangan, berpakaian buruk,
membawa sebungkus pakaian, bertudung kepala dan tidak diiringi oleh sesiapa.
Walaupun begitu, dia berjaya malah turut mengalahkan angkatan perang tujuh
orang puteri Cina, sekaligus berjaya mengembangkan Islam di daerah tersebut.
Cabaran dan pahit getir yang ditempuhinya mungkin tidak tertanggung oleh wira
lelaki.
Syarat
lain yang berjaya dipenuhi oleh Siti Zubaidah termasuklah menegakkan keadilan,
memenuhi janji, suka menolong, pengampun, pemurah, dan menghormati orang lain.
Selain itu, Siti Zubaidah mempunyai sifat kepimpinan dan bijaksana, tangkas
menggunakan senjata, mampu mempertahankan diri daripada musuh disamping
mengembang agama Islam dan menjaga maruah Kembayat Negara. Tambahan pula,
sebagai wanita, sifat kewanitaan yang dimilikinya dianggap bonus untuk muncul
sebagai wira yang serba lengkap. Sebagai seorang wanita yang bergelar isteri,
Siti Zubaidah sabar dan pengasih, malah apabila Zainal Abidin beristeri lagi,
dia langsung tidak menunjukkan sifat dengki dan cemburu berbanding madunya yang
lain seperti contoh (Syair Siti Zubaidah:360-361)
Sungguh pun baik
cumbu dan madah,
hati tak lupa
pada Zubaidah,
kasih dan mesra
berhimpun sudah,
gila berahi
terlalu gundah.
Adapun akan
Zubaidah yang pokta,
menjamu orang
sekalian rata,
serta bermain
bersukacita,
sampailah sudah
bagai dicita.
“jika ayahanda
tuanku kembali,
pergilah tuan
mengiringkan duli,
niatnya bonda
tidak sekali,
pulang pon tidak
orang peduli.
Kemunculan
Syair Siti Zubaidah Perang China ini
memenuhi keinginan pembaca wanita memainkan peranan penting dalam karya
tradisional. Hal ini biasanya mereka disogokkan dengan kehebatan lelaki dalam
menangani setiap isu yang diutarakan dalam sesuatu teks. Berkemungkinan besar,
pengarang yang terbabit ialah lelaki. Hal ini disebabkan situasi ketika itu
kurang mendorong untuk mengetengahkan watak wanita yang berani, bebas dan
berkuasa dalam melaksanakan sesuatu hal. Justeru, watak Siti Zubaidah
digambarkan melakukan penyamaran ketika berusaha menyelamatkan Zainal Abidin.
Walaubagaimanapun, dalam Syair Siti Zubaidah Perang China, Zainal Abidin
seorang hero yang pasif seperti contoh dalam Syair Siti Zubaidah Perang China(348-349):
“sampainya hati tuanku nan Gerang,
tidak berkhabar keluar berperang,
daripada patik tidak setara,
dengan Raja Kembayat Negara,
tidak masuk
segala bicara,
dibilang seperti
lontong dan kera.
“patik pun tahu
akan diri,
terlalu hina
dalamnya negeri,
lalu patik
membawa diri,
di rumah Kebayan
ujung negeri.
“dua hari
berhenti di sana,
khabarnya tuanku
kedatangan bahana,
sudah ditangkap
puteri Cina,
maka patik turun
ke sana.
Merujuk
kepada zaman tradisional ketika itu, sukar untuk mengetengahkan watak wanita yang
berkuasa, pintar dan berani bersuara dan mengemukakan pendapat di hadapan
khalayak. Fenomena ini seolah-olah tersurat bahawa sebarang kuasa berada dalam
dominasi lelaki. Apatah lagi untuk menunjukkan kehebatan untuk keluar berperang
selain hanya berupaya berbuat demikian dengan cara menyamar dan “menukar
jantina”. Ini sahaja peluang dan cara yang ada untuk mengeluarkan diri,
membebaskan minda, mengekspresi diri daripada terus dikongkong oleh kuasa
patriarki secara terbuka.
Sesungguhnya,
Syair Siti Zubaidah Perang China
memenuhi ciri dan formula kepengarangan pengarang wanita yang mengarang tanpa
meminggirkan tugas harian. Tugas seharian mereka sebagai ibu dan isteri adalah
inti pati yang mendasari isi karya yang dihasilkan. Justeru, tugas dan tanggungjawab
mereka adalah mekanisme pentingdalam berkarya. Jelas bahawa minat membaca pada
zaman itu berpihak kepada wanita tetapi karya yang dipilih menjurus kepada
karya yang menjana watak wanita yang serba sempurna berbanding karya sastera
sejarah.
Dengan
merujuk kepada tradisi masyarakat Melayu khasnya, pencarian identiti dan
pengiktirafan yang amat diperlukan oleh para feminis menerusi Syair Siti Zubaidah Perang China yang
membuktikan Siti Zubaidah berjaya mencetuskan suara hati wanita, hasrat yang
terpendam, dan bisikan kalbu wanita agar gambaran citra dan identiti wanita
digambarkan dengan sewajarnya. Melalui Syair Siti Zubaidah Perang China dapat
diselami akan harapan dan impian wanita terhadap pemaparan imej wanita yang
diingini. Menerusi karya tersebut, bukan setakat imej wanita dari kaca mata
wanita dipancarkan, malah citra lelaki yang diimpikan olek kaum wanita turut
diperlihatkan dari perspektif wanita.
Dalam
hal ini, Zubaidah digambarkan sebagai seorang wanita yang jelita dan isteri
yang begitu penyayang dan penyabar. Melalui unsur-unsur penyamaran ketika
hendak menyelamatkan suaminya, dia menjadi hulubalang yang handal tetapi
memiliki sifat kepahlawanan dan pengampun. Malah watak Zainal Abidin pula
diberikan imej yang gagah berani namun tewas di medan perang. Walaubagaimanapun
dia masih mempunyai ciri suami yang setia dan pengasih. Oleh sebab itu, situasi
ini memberi pengaruh yang kuat ke atas kemunculan karya moden pada pertangahan
abad ke-20 dan 21 seperti dalam Syair
Siti Zubaidah (44-45):
Jika dicari dengan makrifat,
Cukup kepadanya syarat yang empat,
Habis kepadanya sempurna sifat,
Bandingnya itu sukar di dapat.
Terlalu elok parasnya puteri,
Kening beralit dengan hitamnya,
Matanya hitam sangat indahnya,
Hidungnya indah sangat mancungnya.
Hidungnya mancung lehernya jinjang,
Pinggangnya ramping dadanya bidang,
Terlalu elok sederhana sedang,
Sedap manis mata memandang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan