1. Ciri-ciri Karya Agung dalam Sulalatus
Salatin
Untuk melayakkan sesebuah karya diangkat sebagai
karya agung, hasil karangan tersebut perlulah mengambil kira beberapa ciri yang
penting. Ciri-ciri yang dimaksudkan ialah lambang atau pesanan yang disampaikan
oleh karya itu, nilai seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup bangsa,
nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa.
i. Isi dan pesanan
Karya ulung seperti Sejarah Melayu membentangkan
alam yang cukup luas dalam penulisannya. Hasil tulisan pengarang telah berjaya
membawa khalayak pembaca merentas kawasan setempat dan kawasan Nusantara
sehingga mereka mampu menerokai dunia-dunia lain, alam maya dan tidak
ketinggalan juga dunia kayangan. Manusia yang memenuhi ruang hikayat ini tidak
hanya datang dari kawasan Nusantara dan dari dunia manusia biasa lain seperti
Rom, India, China dan Dunia Arab, bahkan juga turut melangkau sempadan para
dewa dan dewi ataupun makhluk super-manusia. Isi yang terkandung dalam karya
ini sarat dengan kepelbagaian episod, peristiwa dan kejadian. Melaluinya, kita
dapat melihat kisah untung nasib dan gelagat para raja, putera-puteri yang elok
rupa parasnya, tiada tolok banding dengan manusia lain, para hulubalang yang
gagah perkasa serta para dewa dan dewi dari kayangan yang membawa tuah dan
kuasa ajaib kepada manusia biasa. Selain itu, kita juga dapat menonton kisah
peperangan, persengketaan istana, kekejaman, peristiwa fitnah, hasad dengki dan
akibatnya, malapetaka. Melalui pengamatan dan pengalaman yang dilalui oleh
pengarang semasa hayatnya, panorama ceritera yang sangat besar dan luas itu
menjadi landasan kepada pengarang untuk diketengahkan ke dalam penulisan. Dalam
erti kata lain, pengarang mengangkat hal-hal yang berlegar di sekitar
kehidupannya untuk dijadikan tema atau fokus utama penulisan.
Pengarang Sejarah Melayu telah mengangkat kisah
kebesaran dan kekuasaan raja atau kerajaan Melayu. Bagi memastikan pemerintah digeruni
oleh raja-raja lain di dunia ini, raja Melayu itu mesti diberikan kuasa yang
luar biasa. Untuk tujuan ini, mitologi digunakan sebagai sumber kuasa raja.
Tidak dapat dinafikan bahawa teks-teks sejarah Melayu pada kurun ke-14 hingga
ke-19 mempunyai unsur-unsur mitologi. Karya sejarah dalam bentuk babad atau
susur galur biasanya ditulis atas titah sultan, bertujuan untuk memuji
pemerintah atau mempromosikan kepentingan dan pandangan keluarga penaung.
Apabila seorang pengarang babad memasukkan suatu cerita ajaib atau mitos dalam
karyanya, sudah tentu ada sesuatu maksud atau mesej yang cuba disampaikan. Oleh
hal yang demikian, kita sebagai pembaca perlu memahami makna maklumat tersebut
dan mesej yang hendak dikemukakan.
Dalam Sejarah Melayu, terdapat juga beberapa cerita
mengenai asal usul raja-raja Melayu. Raja Melayu dikatakan berasal daripada
Iskandar Zulkarnain, raja besar bangsa Yunani, beragama Islam, iaitu yang
beriman dengan agama tauhid Nabi Ibrahim.
“A’lam ketahui olehmu, kepada zaman
dahulukala, dan pada masa yang telah lalu, kata yang empunya ceritera, bahawa
Raja Iskandar, anak Raja Durab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya,
Zul-Karnain gelarannya...”
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 4)
Selain asal usulnya yang luar biasa, tema keagungan
kerajaan Melayu-Islam ini dikembangkan lagi dengan memaparkan kepintaran orang
Melayu yang menandingi kepintaran rakyat China sehingga raja China memilih raja
Melaka sebagai menantunya. Selain itu, turut dimuatkan kisah raja China yang
gering dan tidak dapat diubati oleh tabib China. Hanya setelah meminum air
basuhan kaki raja Melaka, iaitu menantu raja China, penyakit baginda sembuh.
Hal ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menggambarkan kekuasaan, kebesaran
dan keagungan raja beserta kerajaan yang dinaunginya.
ii. Nilai budaya / Pandangan Hidup
Menerusi Sejarah Melayu, kebudayaan masyarakat
Melayu turut diselitkan oleh pengarangnya untuk tatapan khalayak pembaca.
Gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka
seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut
bulan Ramadhan dan pelbagai lagi.
“Syahadan bagindalah yang pertama-tama
meletakkan “kekuningan larangan”; tidak dapat dipakai orang keluaran, dan
diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal
besar dan tilam... Dan larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung,
tiada terletak ke tanah; dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; dan
jikalau perahu, bertingkat berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk
dan teterapan keris, sebesar-besar orang keluaran tiada dapat bergelang kaki
emas, dan jikalau berkeroncong emas berkepala perak tiada boleh.”
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 74)
Di
samping itu, pengarang Sejarah Melayu juga turut mempersembahkan kepada pembaca
perihal istiadat perkahwinan Diraja Johor-Pahang.
“Setelah genaplah empat puluh hari empat
puluh malam berjaga-jaga itu, kepada keesokan harinya, maka Raja Omar dan Raja
Fatimah pun dihiasi oranglah dengan pakaian kerajaan yang bertatahkan ratna
mutu intan baiduri. Setelah itu maka Raja Omar pun dinaikkan orang ke atas
gajah, Tun Nara Wangsa di kepala, dan Tun Mat Ali, anak Laksamana Hang Nadim di
buntut, maka diaraklah dengan selengkap alat kerajaan dan dengan segala
bunyi-bunyian, gendang, serunai, nafiri...”
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 300)
Selain itu, pengarang turut menggambarkan hubungan
individu sesama masyarakat dalam penulisannya. Sebagai contoh, sikap hormat
menghormati. Umpamanya, seorang rakyat tetap mematuhi perintah ketua atau
pembesar. Contohnya apabila mengetahui yang Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh
oleh Sultan Mahmud Syah, pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan
ini. Walau bagaimanapun, penentangan tersebut dihalang oleh Tun Mutahir kerana
tindakan tersebut dianggap menderhaka. Akhirnya, pengikut-pengikut beliau tidak
jadi menentang.
Sultan Melaka pada waktu itu juga sangat menghormati
golongan ulama. Hal ini dapat dilihat semasa Sultan Mahmud Syah ingin berguru
dengan Maulana Yusoff. Ulama tersebut tidak membenarkan Sultan Mahmud Syah
datang menemuinya dengan menunggang gajah. Dengan perasaan hormat, baginda akur
dengan permintaan gurunya.
Pandangan dan falsafah hidup bangsa Melayu banyak
sekali diungkapkan oleh masyarakat ketika itu. Hal ini demikian kerana,
masyarakat Melayu begitu kaya dengan keindahan bahasa yang diperturunkan dalam
bentuk puisi. Bentuk puisi yang dikarang adalah seperti pantun, syair dan
seloka serta nyanyian. Puisi-puisi yang terdapat di dalam Sejarah Melayu
mempunyai unsur-unsur tersirat yang bertujuan memuji atau sebaliknya menyindir.
Misalnya, kota sepenampang di Pahang yang terbakar belum dibersihkan sisa
kebakarannya. Lalu, diciptakan nyanyian oleh penduduk setempat.
Kota Pahang dimakan api,
Sampai ke tepi hampir titian,
Bukan kularang kamu berlaki,
Bukan begini perjanjian.
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 239)
Kebanyakan puisi yang dihasilkan adalah berdasarkan
kepada peristiwa yang berlaku. Contohnya seperti pantun di bawah,
Teluk Itik dari Senggora,
Pandan terletak dilangkahi,
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terhantar di Langkawi.
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 68)
Pantun ini terhasil ekoran daripada peristiwa
hukuman bunuh terhadap Tun Jana Khatib. Hal ini berpunca daripada perasaan iri
hati Paduka Seri Maharaja terhadap beliau yang dituduh cuba menggoda Raja
Perempuan dengan memperlihatkan kemahirannya menilik pohon pinang sehingga
terbelah dua. Semasa beliau dibunuh, satu kejadian aneh telah berlaku iaitu
darahnya menitik setitik manakala badannya ghaib.
Selain itu, turut terselit puisi berbentuk seloka.
Seloka ini dihasilkan ekoran peristiwa Singapura dilanggar todak.
Carek baju dilompati todak,
Baharu menurut kata budak.
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 68)
Terdapat juga puisi yang dibuat oleh masyarakat
ketika itu untuk memuji golongan pembesar dan raja. Tetapi ianya disampaikan
dalam bentuk nyanyian. Contohnya:
Pada suatu hari raja Maluku meminjam
kuda pada Maulana Yusuf, itulah dibuat orang nyanyian:
Raja Maluku meninjam kuda,
Meminjam kuda pada Maulana,
Tuanku nyawa orang muda,
Arif bertambah bijaksana.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 180)
Di sebalik pujian, terdapat juga sindiran yang
ditujukan kepada golongan pemerintah. Contohnya pantun dan seloka ini:
“Asa-asaan gigi si Mambang, hendak makan
ikan;
Dalam telaga lagi bertelur, sisiknya
gilang gemilang.”
Maka di sahut oleh bunga tanjung, katanya:
“Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada,
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.”
Maka dijawab oleh bunga telipuk:
“kuning Ledang bagai dikarang,
Riang-riang disambar wakab,
Hairan memandang dunia sekarang,
Bayang-bayang hendak ditangkap.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 214)
Seloka dan pantun ini sebenarnya bertujuan untuk
menyindir Sultan Mahmud yang ingin berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang. Oleh
hal yang demikian, terbuktilah bahawa puisi-puisi yang dihasilkan ini
sebenarnya menggambarkan pujian atau sindiran kepada golongan pemerintah selain
menggambarkan peristiwa yang berlaku.
Masyarakat Melayu begitu kaya dengan budaya dan budi
pekertinya. Hal ini telah berjaya digambarkan oleh Tun Seri Lanang dalam karyanya,
Sejarah Melayu. Adat istiadat Diraja turut dimuatkan dalam karangan beliau bagi
memperlihatkan kedaulatan Raja-raja Melayu.
iii. Nilai
Ilmu
Ilmu merupakan salah satu unsur kehidupan
intelektual terpenting. Kadar perkembangan dan penyebaran ilmu pada pandangan
umum menunjukkan darjah kemajuan kesedaran sosial dan perkembangan masyarakat.
Apabila ilmu kuat dan penting dalam masyarakat Melayu dan mempengaruhi
kehidupan manusia, hal ini pasti tercermin di dalam penulisan pengarang. Kajian
yang dilakukan ke atas sumber sejarah Melayu, khususnya sejarah Melayu Islam
menjelaskan bahawa di dalamnya terdapat banyak maklumat yang berkaitan dengan
ilmu. Semua bahan yang dirakamkan di dalamnya boleh dibahagikan kepada beberapa
kategori:
1. Istilah umum
2. Bidang ilmu
3. Para ilmuwan,
karyawan, pengarang (penyalin), guru dan orang alim yang lain
4. Karya ilmiah
dan buku, serta sistem pengajaran dan pelajaran
5. Unsur-unsur
ilmiah / tekstologi dalam teks-teks sejarah
Dalam kategori “istilah umum”, pelbagai kata dan
definisi berkaitan ilmu, pelajaran, pengajaran, karangan, daya cipta dan
lain-lain dimasukkan ke dalam penulisan karya. Misalnya, ilmu, kitab, karangan,
cerita, buku, membaca, mengajar, guru, mursyid, murid, intiha, konon, kabar
(khabar), kaul dan sebagainya. Istilah-istilah tersebut mempunyai makna yang
sangat luas dan digunakan dalam pelbagai bidang kehidupan intelektual. Jika
diteliti dalam karya agung Sejarah Melayu, antara kosa kata yang ditemukan
ialah ilmu, alkisah, kitab, cerita (ceritera), kabar (khabar), kaul, membaca,
mengajar (ajar), mengarang (karang, karangan), mengaji, alim, murid dan guru.
Kebanyakan istilah umum yang terdapat dalam teks
kebanyakannya berasal daripada bahasa Arab. Akan tetapi, kata-kata Arab ini
sudah terserap ke dalam bahasa Melayu dan dianggap sebagai kosa kata bahasa
Melayu. Melalui penggunaan kata-kata ilmiah yang pelbagai bentuk dan banyak
bilangannya, hal ini dapat mencerminkan dan membuktikan bahawa pengarang dan
pembaca pada masa itu mahir dalam definisi ilmiah dan juga bahasa Arab.
Bagi kategori bidang ilmu pula, dalam teks-teks
karya agung ada disebutkan beberapa bidang ilmu. Dalam Sejarah Melayu,
terkandung beberapa tulisan tentang ilmu falsafah (didaktik, tasawuf, akhlak),
ilmu agama (fardhu ain, ilmu tafsir, ilmu tilawah, ilmu usuludin), ilmu
sejarah, ilmu fiqah (syariah, ilmu hukum), ilmu bahasa (etimologi, saraf,
nahu), ilmu perubatan tradisional dan pelbagai lagi.
Kategori para ilmuwan juga turut tercatat dalam
karangan Sejarah Melayu. Antara orang atau pelaku yang disebut berkaitan dengan
ilmu ialah khatib, haji, sayyid (syed dari tanah Mekah), syeikh, mursyid,
makhdum, kadi dan maulana.
“Maka
makhdum pun dibawa baginda naik gajah, lalu dibawa ke istana baginda. Maka
bendahara dan segala orang besar-besar pun masuk agama Islamlah. Maka segala
orang Melaka kecil besar semuanya disuruh raja masuk Islam sekalian. Maka raja
pun berguru pada makhdum Sidi ‘Abdul Aziz.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 51)
“Sebermula pada masa itu kadi di Melaka
Kadi Yusuf namanya, cicit pada Makhdum Sayid ‘Abdul Aziz yang mengislamkan
segala orang Melaka. Maka Kadi Yusuf tiada berguru pada Maulana Abu Bakar
kerana ia terlalu ‘alim. Sekali persetua Kadi Yusuf hendak pergi sembahyang
Jumaat maka lalu betul pintu Maulana Abu Bakar. Tatkala itu Maulana Abu Bakar
ada berdiri di pintunya. Maka dilihat oleh Kadi Yusuf akan Maulana Abu Bakar
dikeliling oleh cahaya seperti sumbu dian yang dikelilingi apinya. Demikian
rupanya. Maka Kadi Yusuf pun segera berlari datang menyembah pada Maulana Abu
Bakar. ... Maka Kadi Yusuf pun berguru pada Maulana Abu Bakar. Maka Kadi Yusuf
pun jununlah. Maka ia lalu memecat dirinya daripada kadi.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 100)
“... Maulana Abu Bakar turun dari atas
kapal membawa kitab Durr Manzum...Maka Sultan Mansur pun berguru pada Maulana
Abu Bakar...banyak ilmu diperolehlah baginda. Maka Sultan Mansur Syah Durr
Manzum itu disuruh baginda ertikan ke Pasai.”
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 98)
“... bertanyakan suatu masalah Segala
isi syurga itu kekallah ia dalam syurga dan bagi isi neraka itu kekallah ia
dalam neraka? ... Maka kata Tun Makhdum Muda “Isi syurga kekallah ia dalam
syurga, isi neraka kekal dalam neraka”... kerana sabit dengan dalil Qur’an
“mereka itu kekal dalam syurga selama-selamanya.”
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 98-99)
Semua nama yang disebutkan dalam petikan di atas
merupakan tokoh Islam. Para ilmuwan tersebut adalah sangat berwibawa dan
pangkatnya tinggi dalam masyarakat Melayu Islam khususnya. Golongan ini juga
turut memberi pelbagai nasihat kepada raja dan anak-anaknya, mengajar sultan
dan orang besar-besar, mengepalai musyawarah, membantu mencapai muafakat dalam
perdebatan dan konflik dan lain-lain lagi.
Dalam teks Sejarah Melayu, terdapat banyak maklumat
tentang karya ilmiah dan agama yang diajarkan dan dibaca dalam masyarakat
Melayu. Buku-buku tersebut berkaitan dengan ilmu agama, falsafah, fiqah,
sejarah, bahasa dan sebagainya. Kitab yang sering disebutkan ialah al-Quran
al-Azim dan pelbagai Surahnya. Contohnya,
... Maka belayar pula nakhoda Ismail.
Berapa lamanya maka sampai kepada sebuah negeri pula Thobri (Lamri) namanya.
Maka orang Thobri itu pun masuk Islam. Maka kafir pun naik ke darat membawa
al-Qur’an. Maka disuruhnya baca pada orang Thobri itu surat itu. Seorang pun
tiada dapat membaca dia.
(Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, hal. 56)
Alkisah maka tersebutlah perkataan
seorang pendita, Maulana Abu Ishak namanya, terlalu faham pada ilmu tasauf...
Maka dikarangnya sebuah kitab dengan dua bahasa, suatu bahasa zat, kedua bahasa
sifat; dinamainya Duri’l-mazlum.
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 156-157)
Berdasarkan kepada beberapa pecahan nilai ilmu yang
telah dipaparkan dalam Sejarah Melayu, hal ini dengan jelas menunjukkan ciri
penting keagungan karya agung Melayu terletak pada ketamadunan ilmu yang
dipancarkan oleh karya itu. Melaluinya, pengarang telah berjaya memperlihatkan
keupayaan dan keterbukaan mindanya untuk menyerap ilmu dan nilai baru, yang
dipelajari daripada Islam, untuk menilai dan memperkukuh tradisi bangsanya.
Mantera mula diganti dengan doa, berguru kepada orang pertapa diganti dengan
berguru kepada syeikh atau makhdum, adat dan tradisi keadilan Melayu
digandingkan dengan keadilan menurut hukum Allah dan pelbagai lagi. Inilah
proses perkembangan ilmu yang dipaparkan dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah
Melayu.
iv. Teknik
Kepengarangan
Jika diteliti isi kandungan Sejarah Melayu,
pengarangnya dilihat sebagai seorang intelek Melayu yang berminat kepada
sejarah dan suasana pergolakan politik di Melaka waktu itu. Selain itu,
pengarang amat berminat membaca berbagai-bagai naskhah hikayat daripada
kesusasteraan asing yang diterap daripada kesusasteraan Hindu. Misalnya,
pengarang dapat menggarap unsur-unsur sastera Hindu sewaktu mengisahkan
pengembaraan Raja Suran ke negeri bawah laut dan kisah di Bukit Si Guntang
Mahameru. Pengarang juga turut mengaitkan binatang suci Hindu iaitu lembu
putih.
Pengaruh kesusasteraan Jawa seperti cerita panji dan
Cerita Damar Wulan turut dibawa masuk oleh pengarang. Contoh-contoh dari hasil
sastera Jawa dapat dilihat melalui gambaran peristiwa utusan Melaka pergi ke
Majapahit dan peristiwa peminangan Puteri Galuh Cendera Kirana. Dalam peristiwa
peminangan Puteri Gunung Ledang, dikaitkan pula dengan permintaan mas kahwin
yang luar biasa.
Pengarang juga amat mahir menggarap corak penulisan
kesusasteraan Parsi dan Arab. Hal ini dapat dibuktikan melalui gaya penulisan
pendahuluan teks yang mempunyai gaya masnawi. Selain itu, pengarang turut
memasukkan petikan syair dan bidalan Arab, termasuklah juga ayat-ayat al-Quran.
Penggunaan kalimah-kalimah Arab juga amat ketara dalam Sejarah Melayu.
Pengarang dilihat sangat kreatif dan berseni kerana
dapat menampilkan karya tersebut dalam bentuk yang menarik dan indah dari segi
persembahannya. Tun Seri Lanang berupaya melukis segala kisah atau gambaran
masyarakat Melayu dengan hidup dan indah. Beliau juga berupaya menceritakan
sesuatu episod dengan nyata dan jelas sehingga berjaya mengusik perasaan
pembaca sama ada sedih, menyayat hati, lucu, meriah dan riang gembira.
Misalnya, peristiwa peperangan digambarkan dengan penuh suasana ngeri dan
ganas.
“Maka dikeluari oleh orang Singapura
terlalu sabur berperang; tetak menetak, parang-memarang, tikam-menikam, serta
dengan tempik soraknya, gegak-gempita, tiada sangka bunyi lagi. Maka darah di
tengah peperangan itu seperti air sebak, merah rupanya pasir itu, datang
sekarang ada lagi. Maka patahlah perang orang Singapura, lalu sekaliannya undur
masuk ke dalam kota; pintu kota pun ditutup, dan dilawan berperang dari dalam
kota kira-kira sebulan lamanya.”
(Sulalatus
Salatin Sejarah Melayu, hal. 70)
Pengarang juga berupaya melukis watak dengan lebih
hidup, istimewa dan bercampur dengan unsur lucu. Contohnya ketika menggambarkan
watak Tun Mai Ulat Bulu, Seri Bija Diraja, Seri Wak Raja, MiaRuzul dengan
kambing randuk dan lain-lain. Selain itu, pengarang berjaya menerapkan gaya
bahasa yang indah, menarik dan bermutu tinggi. Di samping itu, pengarang juga
turut menggunakan pelbagai teknik penceritaan. Antara teknik tersebut ialah
dialog, monolog dalaman, menyelitkan puisi seperti pantun, syair dan bidalan
Arab yang secara tidak langsung menimbulkan kesan keindahan semasa membaca
karya tersebut.
v. Seni
Bahasa
Bangsa Melayu meletakkan keutamaan yang tinggi
kepada ketajaman akal, kecerdasan berfikir, kebijaksanaan berbahasa dan
mengungkapkan bahasa. Bentuk-bentuk lisan seperti teka-teki dan pantun ialah
manifestasi kepada keutamaan yang diletakkan kepada kecerdasan berfikir.
Menurut Noriah Taslim (2000), masyarakat silam/lisan wujud dalam satu bentuk
budaya yang disebut budaya “rhetorical”, manusianya wujud dalam
situasi persaingan kata-kata (verbal combat) atau pertikaman
lidah: pantun perlu dibalas, teka-teki perlu dijawab, sindiran dijawab dengan
sindiran. Hal ini menuntut kecerdasan berfikir dan kelancaran mengungkapkan
bahasa yang amat tinggi. Bentuk-bentuk peribahasa menjadi cerminan kepada
keintelektualan minda Melayu yang tiada tandingan. Bermula daripada alam kepada
manusia, abstrak kepada konkrit, peribahasa memanfaatkan keindahan untuk
menajamkan keintelektualan.
Jika ditinjau dalam Sejarah Melayu, terdapat
beberapa peristiwa yang menunjukkan seni bahasa pengarang dalam sisi yang
berbeza. Sebagai contoh, dalam peristiwa pemeritahan di Temasik/Singapura.
Dalam peristiwa ini, Temasik digambarkan oleh pengarang sebagai sebuah negeri
yang tidak pernah aman. Kita juga tidak pernah didedahkan dengan usaha
pemerintahnya, Parameswara, untuk memajukan Singapura. Hal ini demikian kerana,
di Temasik/Singapura terdapat nilai yang tidak baik. Istilah “Singapura”
dikatakan berasal daripada binatang yang bernama singa dan sikap singa itu pula
suka berpura-pura. Sikap berpura-pura merupakan nilai yang tidak baik. Singapura
dikatakan tidak aman kerana diperintah oleh raja yang berhati pura-pura. Bukan
tidak ada pembesar yang membantu raja, namun pembesarnya juga berhati
pura-pura. Ketaatan kepada raja bukan kerana mahu mendaulatkan raja, tetapi
kerana mahu merebut nikmat material. Dalam Sejarah Melayu, ada generasi yang
cuba membawa pembaharuan, memajukan Singapura, malangnya mereka pula yang
dilenyapkan.
Terdapat ulama, Tun Jana Khatib, yang boleh
membantu, tetapi disebabkan salah sangka, ulama itu dibunuh. Selain itu, digambarkan
juga bagaimana akal seorang budak yang telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa
manusia dan menjadi aset negara, telah dikhianati oleh pihak pemerintah pada
masa itu. Hal ini dibuktikan dalam petikan di bawah,
Maka sembah orang besar-besar, “Tuanku,
budak ini terlalu besar sekali akalnya. Sedang ia budak lagi demikian, jikalau
ia besar berapa lagi banyak akalnya? Baiklah ia kita bunuh.”
(Sulalatus Salatin
Sejarah Melayu, hal. 69)
Membunuh
akal bererti membunuh intelektual. Membunuh budak bererti membunuh generasi
warisan. Lebih-lebih lagi membunuh budak berakal besar, yang bermaksud membunuh
kemajuan yang bakal berlaku. Kezaliman pemerintah yang sedemikian telah
melenyapkan riwayat Singapura dalam Sejarah Melayu. Secara halus, pengarang
menyampaikan mesej bahawa Singapura tidak akan maju kerana gejala negatif menjadi
pegangan pemerintahnya. Mesej tersebut dsampaikan secara amat berseni.
Pengarang tidak menyatakan kekejaman pemerintah, sebaliknya pengarang
menggambarkan perlakuan kejam pemerintah. Perlakuan-perlakuan itu pula
disertakan dengan alasan yang mungkin dapat diterima oleh masyarakat pada zaman
itu. Di sinilah seni kebijaksanaan pengarang mengkritik golongan pemerintah.
Seorang budak yang berakal besar semasa kecilnya tentunya akan lebih besar
apabila ia mnginjak dewasa.
Disebabkan
oleh sistem nilai yang dipegang oleh masyarakat dahulu berpaksikan “siapa kuat
dia berkuasa”, maka kebimbangan raja dan pembesar itu adalah wajar. Pembunuhan
terhadap akal dan budak itu menjadi halal pada mereka. Namun demikian, dalam
prinsip “halal” mereka itu, pengarang sebenarnya ingin menggambarkan kekejaman
pemerintah kerana pengarang turut menggambarkan pembunuhan terhadap ulama dan
gundik raja. Penyusunan siri pembunuhan ini dapat memberi kefahaman kepada kita
tentang kebijaksanaan berbahasa yang terdapat pada pengarang.
Terdapat tiga pembunuhan yang disebabkan oleh tiga
faktor yang masing-masing menggambarkan keburukan golongan pemerintah. Pertama,
pembunuhan terhadap ulama bernama Tun Jana Khatib yang disebabkan rasa cemburu
dan syak wasangka. Ulama merupakan lambang yang membawa cahaya kebenaran dan
keimanan. Apabila ulama sudah tiada, ini bererti kerajaan itu berada dalam
kegelapan. Kedua, pembunuhan terhadap budak berakal besar disebabkan
kebimbangan terhadap akal budak itu yang dikatakan akan menggugat kuasa pemerintahan.
Budak berakal besar melambangkan keintelektualan, kesarjanaan dan kemajuan.
Oleh sebab digambarkan masih budak, mungkin pengarang bermaksud Singapura akan
menerima kemajuan atau kemajuan masih dalam proses pembinaan, dan mungkin
Singapura maju dari segi pentadbiran keduniaan, bukan kerohanian. Ketiga,
pembunuhan terhadap anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang menjadi gundik bongsu
raja disebabkan fitnah oleh para gundik. Gundik bongsu dapat difahami sebagai
lambang kelahiran. Yang dimaksudkan di sini, mungkin anak-anak yang bakal
dilahirkan lebih berkualiti berbanding anak-anak gundik yang lain ataupun
permaisuri. Dalam ketiga-tiga peristiwa pembunuhan itu, terlihat kebijaksanaan
pengarang mengolah bahasa untuk mengkritik raja. Seni bahasanya terletak pada
cara pengarang menggambarkan kekejaman dan kesan baik yang dapat diteladani
daripada tindakan raja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan